Berita

Aminuddin: Semua masjid dan surau akan dibuka untuk Solat Sunat Aidiladha

Menteri Besar mengingatkan pihak yang akan laksana ibadah qurban agar patuhi SOP JHEAINS

SEREMBAN: Semua masjid dan surau di Negeri Sembilan akan dibuka untuk Solat Sunat Aidiladha, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata Kerajaan Negeri telah menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir bahawa Kerajaan Negeri akan membuka semua masjid dan surau di Negeri Sembilan bagi tujuan Solat Sunat Aidiladha dengan syarat pihak pentadbir masjid dan surau perlu memohon kepada Pejabat Agama Islam Daerah terlebih dahulu.

“Ini adalah bagi mengelakkan orang ramai tertumpu di satu-satu kawasan sahaja.

“Kita juga tidak benarkan khemah di pasang di masjid dan surau.

“Ini ialah kerana sekiranya hari hujan dan jemaah tidak balik terus ke rumah, ia berisiko yang boleh menyebabkan jemaah berhimpit-himpit di bawah khemah dan penjarakan sosial tidak dipatuhi,” kata Aminuddin.

Aminuddin juga mengulas Kerajaan Negeri maklum berkenaan peningkatan kes COVID-19.

“Sehubungan itu Kerajaan Negeri akan memastikan sebarang sambutan perayaan atau hari kebesaran mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kerajaan Negeri juga mengingatkan kepada semua yang bakal melaksanakan ibadah qurban agar memastikan bahawa SOP dipatuhi.

“SOP tersebut boleh di dapati di laman web Jabatan Hal Ehwak Agama Islam (JHEAINS),” ujar beliau.

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button