Berita

Aminuddin serah sumbangan RM907 ribu untuk institusi tahfiz dan sekolah agama swasta

MB berharap pelajar tahfiz boleh menguasai bahasa Arab, memahami dan menghayati al-Quran

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menyumbang dana kewangan sebanyak RM907,000 kepada institusi tahfiz dan sekolah agama swasta, agar lebih ramai lagi golongan ulama dapat dilahirkan di Negeri Sembilan.

Dalam Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Tahfiz Dan Sekolah Agama Swasta 2020, di Klana Resort; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun menyampaikan sumbangan dana kewangan tersebut kepada tujuh insitusi pendidikan islam di Negeri Sembilan telah menerima sumbangan pada hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM430,000 diperuntukkan kepada Maahad Ahmadi Gemencheh, Sekolah Menengah Agama Repah, Pusat Pendidikan As-Sa’diyyah, Pertubuhan Pendidikan Al-Aliyah Negeri Sembilan, Pusat Pendidikan Al-Irshad, Majlis Guru Besar Tadika Islam Negeri Sembilan serta Kompleks Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad.

Sebanyak RM402,000 pula diserahkan kepada institusi tahfiz swasta yang diwakili oleh Pengerusi Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan (PINTAS), Ustaz Mohd Ali bin Abdul Kadir. PINTAS  menaungi 52 institusi tahfiz yang berdaftar dengan persatuan itu di Negeri Sembilan.

Manakala sebanyak RM96,500 disumbangkan kepada institusi tahfiz dan sekolah agama swasta yang tidak berdaftar dengan PINTA/PINTAS.

Dato’ Seri Aminuddin sedang berbual dengan salah seorang penerima sumbangan institusi tahfiz. Foto Nabil Syafiq

“Anda adalah Ansarullah (petugas-petugas Allah). Tugas anda sebagai guru merupakan sentuhan bercahaya yang merubah diri pelajar, masyarakat, negeri dan negara ini.

“Balas budi baik layanan Allah ke atas kehidupan ini dengan berkhidmat, berbakti, mendidik dengan ikhlas, penuh kesungguhan dan kasih sayang”, pesan Aminuddin kepada para guru tahfiz.

Memohon doa agar rakyat dan Negeri Sembilan sentiasa dirahmati dan dipelihara Allah. Foto: Nabil Syafiq

Aminuddin juga mengajak para hadirin agar sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan ke atas semua petugas dan keluarga barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19.

“Di kesempatan ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan dan berdoa agar rakyat dan negeri kita sentiasa dirahmati dan dipelihara Allah.

“Semoga ujian pandemik ini ditarik balik dan kita dapat menjalani kehidupan ini seperti biasa, dan kita dapat menghidupkan semula masjid dan surau dengan solat berjemaah dan aktiviti-aktiviti kuliah.

“Insya-Allah, semoga segala usaha dan kerja kita diterima oleh Allah sebagai bukti pengabdian,” kata Aminuddin.

#NegeriSembilanBersihMuafakatSejahtera

Show More

Related Articles

Back to top button