Berita

KAYNS disaran buat kajian keperluan pasaran

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyarankan agar Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS), membuat kajian saintifik mengenai bidang yang paling strategik diperlukan oleh pasaran pekerjaan.

Aminuddin berkata, berdasarkan penemuan dari kajian yang dilakukan tersebut, maka dapatlah dilakukan suatu perancangan yang benar-benar komprehensif dan holistik, bagaimana pendidikan TVET melalui KAYNS ini dapat diluncurkan secara efektif dan benar-benar mencapai apa yang kita harapkan.

“Saya juga berbangga dengan kejayaan KAYNS menghasilkan beberapa produk tertentu seperti kek dan coklat yang berkualiti.

“Justeru, saya sarankan agar KAYNS dapat menubuhkan satu taskforce yang memberi perhatian khusus untuk memasarkan produk yang berpotensi secara komersil, terancang, strategik dan berkesan.

“Libatkan juga para pelajar kita secara langsung, agar mereka mendapat pengalaman yang konkrit dan praktikal, demi masa depan mereka.

“Sekiranya, usaha ini berjaya dilakukan, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan bantuan dari segi modal, logistik, pemasaran dan aspek lain yang diperlukan,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Kampus KAYNS di Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan, Gentam.

Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar; Exco Kerajaan Negeri; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KAYNS, Dato’ Mohd Khidir Majid dan Ketua Ekskutif (CEO) KAYNS, Encik Bahrom Bakar.

Foto: Nabil Syafiq dan Bahrom Bakar

Show More

Related Articles

Back to top button