Berita

Aminuddin umum SOP pelaksanaan aktiviti masjid dan surau dalam tempoh PKP 12 Mei – 7 Jun

Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan aktiviti bagi masjid dan surau di Negeri Sembilan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 12 Mei – 7 Jun 2021

Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan semasa berikutan penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Merujuk kepada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa dari 12 Mei sehingga 7 Jun 2021, masjid dan surau di Negeri Sembilan hendaklah beroperasi sepanjang tempoh ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti yang akan saya umumkan di bawah ini.

Sebelum membincangkan lebih lanjut, setiap jemaah yang akan hadir ke masjid atau surau hendaklah mematuhi disiplin kendiri seperti yang sentiasa diwar-warkan oleh pihak kerajaan. Patuhilah sepenuhnya agar dapat membendung diri daripada wabak yang bahaya ini.

Seterusnya, bagi SOP pelaksanaan aktiviti di masjid, surau Jumaat atau surau, terdapat aspek yang disusun agar tidak mengelirukan masyarakat berkaitan aktiviti di masjid dan surau.

Aktiviti solat

SOP ini terpakai bagi aktiviti solat fardhu, solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Bagi kehadiran jemaah untuk menunaikan solat di masjid atau surau Jumaat, hanya 50 orang sahaja yang dibenarkan hadir termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau Jumaat. Manakala bagi surau biasa dibenarkan 20 orang sahaja termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa.

Jemaah yang dibenarkan hadir solat adalah berstatus warganegara Malaysia atau penduduk tetap (PR). Hanya golongan lelaki yang berumur 15 tahun dan ke atas sahaja dibenarkan hadir solat dalam tempoh PKP pada kali ini.

Setiap jemaah yang hadir wajib mengisi borang kehadiran yang disediakan. Kehadiran ini akan direkodkan oleh jawatankuasa dan dikemukakan ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) setiap hari.

Perlu diberi perhatian, imam yang bertugas digalakkan untuk membaca ayat atau surah yang pendek. Manakala khutbah yang akan disampaikan hendaklah berpandukan teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sahaja. Teks ini boleh dimuat turun di laman sesawang rasmi JHEAINS atau boleh didapatkan di PAID.

Seterusnya, bagi amalan takbir hari raya dibenarkan di masjid, surau Jumaat atau surau bermula dari waktu Maghrib, Isyak, Subuh dan sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri.

Jawatankuasa hendaklah memastikan tiada amalan takbir dilaksanakan berlanjutan sehingga lewat tengah malam. Selepas solat Isyak, bertakbir dan berzikir dan boleh beredar.

Pada 1 Syawal, seusai solat sunat Hari Raya Aidilfitri, sebarang bentuk jamuan adalah tidak dibenarkan. Begitu juga amalan ziarah kubur tidak dibenarkan.

Pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19

Setiap kematian hendaklah dilaporkan dahulu kepada pihak PDRM. Semua pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan di masjid atau surau. Pengurusan jenazah di rumah adalah dilarang.

Pengurusan jenazah di masjid atau surau akan diuruskan oleh 6 orang sahaja yang terdiri daripada 3 orang petugas masjid atau surau dan 3 orang lagi terdiri daripada waris si mati.

Bagi solat jenazah dibenarkan mengikut kapasiti solat dalam tempoh PKP ini iaitu 50 orang di masjid dan 20 orang di surau. Manakala majlis tahlil dan talkin tidak dibenarkan.

Bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19

Diharap semua jawatankuasa masjid dan surau serta seluruh rakyat di negeri ini, menerima dan faham akan SOP yang telah disediakan ini.

Ia bertujuan untuk membendung dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sedang menggasak kesihatan orang ramai sekarang. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk mengawal penularan wabak ini supaya negeri tercinta ini kembali sihat dan sejahtera.

Kepada semua jawatankuasa masjid dan surau, dirikanlah solat sunat taubat setiap kali selesai solat dan lazimi doa tolak wabak penyakit yang diedarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Sekian, terima kasih.

Bersih, Muafakat, Sejahtera.

YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun,
Menteri Besar Negeri Sembilan.

11 Mei 2021

Show More

Related Articles

Back to top button