Berita

AMK Seremban ringankan beban ‘rider’ Foodpanda dan GrabFood

Sumbangan RM50 dan bantuan pek makanan kepada setiap 30 'rider'

SEREMBAN: Penghantar makanan segera atau lebih dikenali sebagai ‘rider’ (penunggang) Foodpanda dan GrabFood turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Seremban, Saudara Afif Anuar berkata, justeru atas dasar keprihatinan, pihaknya menghulur sumbangan kewangan dan bantuan pek makanan kepada 30 ‘rider’ Foodpanda dan GrabFood terpilih dari DUN Sikamat dan DUN Ampangan.

“Pendapatan sebagai rider penghantar makanan segera tidaklah tinggi, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP apabila pendapatan rakyat secara umumnya terjejas, kesan sampingan pandemik Covid-19.

“Sumbangan kewangan RM50 setiap rider dan pek makanan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi PKP (total lockdown) bermula 1 Jun ini,” katanya.

Afif berkata, program sumbangan kewangan dan pek makanan ini dijalankan secara pandu lalu atau drive-thru bagi memastikan semua SOP dipatuhi.

Program ini dijalankan di perkarangan Balairaya Taman Desa Rhu, Sikamat dan perkarangan tempat letak kereta Sekolah Kebangsaan KGV, Gedong Lalang 50, Ampangan kelmarin.

Menurut Afif yang juga Pengarah Program, AMK Seremban sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat tanpa mengenal batas perbezaan ideologi politik, kaum dan agama.

“AMK Seremban mahu memastikan warga Negeri Sembilan khususnya di Seremban sentiasa terbela dalam meneruskan kelangsungan hidup menghadapi perintah “total lockdown” yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri,” ujar beliau.

Turut hadir wakil AMK Ranting Desa Rhu, Saudara Muhammad Norhafiz Ismail serta beberapa pimpinan AMK Seremban.

Show More

Related Articles

Back to top button