Kolumnis

Anwar pembawa perubahan, penggerak Islamisasi dan pembangun institusi

Universiti Islam Antarabangsa, Perbankan Islam, KBSR dan KBSM

Dato’ Profesor Mohammad Redzuan Othman: Pada pertengahan tahun 1980-an saya mula bertugas di Universiti Malaya sebagai tutor dan kemudiannya sebagai pensyarah. Pada waktu rehat saya sering menyertai perbincangan santai dengan beberapa orang pensyarah bukan Melayu yang senior.

Salah satu perbincangan menarik perhatian saya apabila seorang profesor menyuarakan keprihatinannya tentang isu Islamisasi yang sedang giat berjalan pada waktu itu yang turut menjadi agenda pemerintahan.

Menurut profesor ini orang bukan Melayu tidak bimbang dengan program Islamisasi yang bersifat simbol seperti sambutan Maal Hijrah dan Maulud Nabi yang dijuarai oleh Dato’ Yusof Noor selaku menteri yang bertanggungjawab tentang Agama Islam.

Namun begitu, mereka melahirkan rasa bimbang dengan agenda yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim yang lebih menekankan kepada pelaksanaan program yang bersifat institusi, seperti penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Perbankan Islam, pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) kerana implikasinya yang berpotensi menjejaskan dominasi oleh kelompok tertentu dalam masyarakat pada waktu itu.

Beliau memberi contoh tentang profesion guaman yang pada waktu itu didominasi oleh orang bukan Melayu. Pada waktu itu pengambilan ke jurusan undang-undang di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) amat terbatas. Di Universiti Malaya, ditetapkan pengambilan 100 orang pelajar setahun dengan 50% Melayu dan 50% lagi bukan Melayu.

Pengambilan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Teknologi Mara (kini UiTM) juga terbatas. Begitu juga dengan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), yang masih belum menawarkan jurusan undang-undang secara meluas.

Tetapi pada 1988 (UIA) sudah menawarkan program Matrikulasi Undang-Undang dan pengambilannya yang mencecah lebih 300 orang setahun.

Anwar buka ruang ramai Melayu jadi golongan profesional

Pada pandangan profesor ini, jika trend tersebut berterusan dalam tempoh 10 tahun akan datang, bidang undang-undang di Malaysia tidak lagi didominasi oleh orang bukan Melayu. Lebih-lebih lagi apabila graduan UIA boleh berbahasa Inggeris, mempunyai pengetahuan dalam bahasa Arab, menguasai undang-undang Islam dan juga undang-undang sivil konvensional menjadikan mereka lebih diterima di pasaran.

Terbukti apa yang dikhuatiri oleh profesor ini menjadi realiti pada waktu ini apabila peguam, hakim dan pengamal undang-undang lulusan UIA dan ditambah mereka yang lulus dari Institut Pengajian Tinggi yang lain menjadikan bidang ini sudah diceburi sepenuhnya oleh orang Melayu.

Lulusan Undang-Undang dari UIA perlu sedar tentang sumbangan besar yang pernah disumbangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membuka ruang sehingga membolehkan ramai orang Melayu, termasuk dari Sabah dan Sarawak menjadi golongan profesional dalam bidang ini.

Dato’ Profesor Mohammad Redzuan Othman merupakan Bekas Pensyarah Sambilan Program Matrikulasi Undang-Undang UIAM dari tahun 1988 hingga 1991.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Show More

Related Articles

Back to top button