BeritaMenarik

Kilang haram diserbu, 200 tan sisa elektronik disita

SEREMBAN: Sebuah kilang haram yang menjalankan aktiviti perleraian bahan sisa buangan elektronik (e-waste) diserbu dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi di Jalan Kuala Sawah, Kampung Puchong di sini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, sebanyak 200 tan sisa buangan elektronik telah disita untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kegiatan ini dipercayai didalangi oleh warga China manakala pekerjanya adalah terdiri daripada warga Myanmar.

“Bahan-bahan buangan ini juga dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Amerika Syarikat dan China melalui pelabuhan Klang yang diisytihar secara salah.

“Aktiviti kilang haram ini memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat, selain kedudukan kilang hampir 100 meter dari Sungai Linggi,” ujar Veerapan.

Menurut Veerapan, operasi bersepadu ini melibatkan 71 individu terdiri daripada pasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhilitan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Pemeriksaan mendapati sembilan kesalahan telah dilakukan di bawah bidangkuasa tujuh agensi.

“Antaranya Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 – Operasi peleraian sisa elektronik tanpa lesen dan Seksyen 34 a kerana gagal kemukakan laporan Environment Impact Assesment (EIA) bagi aktiviti peleraiaan e-waste.

“Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred – menjalankan perniagaan tanpa lesen PBT serta Seksyen 112(1BA) Akta Cukai Pendapatan 1967 (LHDN) atas kesalahan kegagalan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan.

“Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah membabitkan lima warga asing Myanmar dan dua Bangladesh,” jelas Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button