Berita

Anwar zahirkan simpati berhubung kejadian kebocoran gas ambulans

PORT DICKSON: Ahli Parlimen Port Dickson, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan simpati di atas kejadian kebocoran gas di dalam ambulans yang meragut nyawa seorang petugas Klinik Kesihatan (KK) Bukit Pelanduk.

“Berita yang sangat mendukacitakan, tatkala mereka di medan perang mendepani wabak dan melindungi keselamatan dan kesihatan warga.

“Pengorbanan mereka ternyata tidak terbalas, malah mesti diberi ganjaran selayaknya.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mangsa dengan doa agar mereka tabah dan diberi kekuatan sepanjang saat getir ini.

“Saya juga turut bersedih dan mendoakan tiga mangsa lain yang tidak sedarkan diri agar lekas diberi keafiatan dan pulih seperti biasa.

“Semoga Allah SWT lindungi mereka, Insyah Allah,” kata Anwar.

Dalam kejadian pagi Khamis, seorang petugas farmasi KK Bukit Pelanduk meninggal dunia dipercayai terhidu gas bocor di dalam ambulans yang membawa beliau dan tiga rakan setugas ke Hospital Port Dickson.

Menurut Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam; dalam kejadian 9.10 pagi itu tiga petugas membawa seorang rakan setugas mereka yang rebah di KK Bukit Pelanduk ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut dengan menaiki ambulans tersebut.

“Sejurus tiba di Hospital Port Dickson, didapati empat petugas itu pengsan dan salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia.

“Keadaan tiga petugas KK Bukit Pelanduk adalah stabil dan sedang mendapat rawatan rapi di hospital dan pada masa yang sama siasatan ke atas kejadian berkenaan turut dijalankan,” jelas Veerapan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Encik Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki berusia 29 tahun, manakala tiga lagi lelaki yang tidak sedarkan diri berusia 30-an.

 

Foto: Facebook YB Veerapan Superamaniam

Show More

Related Articles

Back to top button