Kolumnis

Apa itu Power House Gemilang

Bahagian 1

FAIZ ABDULLAH: PH GEM adalah singkatan untuk Power House Wanita Gemilang. PH adalah singkatan untuk Power House dan juga Pakatan Harapan. GEM adalah singkatan untuk  gemilang. GEM dalam Bahasa Inggeris membawa makna permata. Wanita adalah ciptaan Tuhan yang paling istimewa. Setiap lelaki yang berjaya di dunia ini adalah dilahirkan dari perut seorang wanita. Setiap lelaki yang hebat di dunia ini adalah dilahirkan dari perut seorang wanita.

Bak kata pepatah “genggam bara api biar jadi arang”. Itulah semangat wanita yang terpaksa menggalas tugas sebagai seorang anak, isteri dan ibu. Wanita yang berkerjaya pula terpaksa melalui liku-liku kehidupan yang begitu perit sebelum dapat mengecapi sesuatu kejayaan. Mungkin ini boleh diibaratkan sebagai “genggam arang biar jadi berlian”.

PH GEM adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan khusus untuk aktiviti pembangunan wanita.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, idea PH GEM ini bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), di mana Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menggubal Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan atau lebih dikenali sebagai Tawaran Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

“Daripada 71 fasal dalam Tawaran tersebut, 10 fasal adalah berkaitan dengan portfolio saya iaitu Hal Ehwal Wanita,Keluarga dan Kebajikan.

“Fasal 6.3 ‘Pusat kemajuan wanita di setiap DUN’ di bawah tajuk ‘Wanita dan Kesejahteraan Keluarga’  adalah titik permulaan PH GEM.  Ini diilhamkan oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) di Selangor dan Penang Women’s Development Corporation (PWDC) di Pulau Pinang,” kata YB Nicole.

Menurut YB Nicole, PWB dan PWDC adalah pusat pemerkasaan wanita. Misi dan visi pusat pemerkasaan wanita tersebut adalah untuk memperkasakan wanita melalui latihan, kursus, ceramah, dan program pemerkasaan yang lain yang dianjurkan oleh Jabatan, agensi, NGO dan MPKK.

“Program dan aktiviti ini bertujuan untuk memandirikan wanita. Bukan memberi ikan kepada wanita tetapi memberikan pancing dan mengajar mereka bagaimana untuk pancing ikan.

“Saya membentangkan kertas kerja untuk PH GEM dan ia diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta dalam Bajet Kerajaan Negeri Sembilan 2019.

“PH GEM bermula dengan program perintis dengan perlantikan Penyelia PH GEM di tiga daerah iaitu Seremban, Tampin dan Kuala Pilah,” ujar Nicole lagi.

Faiz Abdullah ialah editor Negeri Kita dan wartawan yang berpengalaman menulis untuk pelbagai agensi media lebih 10 tahun. 

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button