Berita

Arul: Jaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama

NILAI: Orang ramai di Pekan Mantin dinasihatkan agar tidak membuang sampah di tong sampah milik orang lain, sebaliknya menggunakan tong sampah masing-masing.

ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar berkata, terdapat penduduk yang mengambil kesempatan membuang sampah di tong sampah yang disediakan untuk dua buah stesen minyak di Pekan Mantin.

“Ini menyebabkan tong sampah tersebut dilimpahi dengan sampah sarap, mengundang lalat dan menyebabkan bau busuk di stesen petrol berkenaan dan kawasan perumahan sekitarnya.

“Malah sikap ini menyusahkan pengusaha stesen minyak tersebut dan satu tindakan yang tidak beretika.

“Justeru, saya telah membuat aduan dan pihak SWM telah menutup tapak pembuangan sampah berdekatan dengan stesen minyak tersebut.

“Sebelum ini jalan utama masuk ke beberapa kawasan perumahan di Pekan Mantin juga menjadi tempat pembuangan sampah oleh segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, setiap rumah dan kedai telah dibekalkan dengan sebuah tong sampah dan sampah dikutip mengikut jadual yang ditetapkan.

“Maka tiada alasan untuk sesiapa membuang sampah di tong sampah milik individu lain. Jika tiada tong sampah, boleh hubungi SWM untuk mendapatkan tong sampah tersebut.

“Oleh itu, untuk menjadikan Pekan Mantin ini bersih dan ceria, saya berharap orang awam jangan lagi membuang sampah di kawasan ini,” ujar Arul Kumar yang juga Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button