Berita

Arul Kumar: Lebih banyak insentif untuk masyarakat Hindu tahun 2021

NILAI: Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB J.Arul Kumar berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan akan memperkenalkan lebih banyak insentif pada tahun hadapan untuk rakyat Negeri Sembilan, termasuk masyarakat beragama Hindu.

Dalam perutusan khas sempena sambutan Deepavali kepada penganut Hindu Negeri Sembilan; Arul Kumar berkata, sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan selama lebih dua tahun di Negeri Sembilan; peruntukkan untuk tempat ibadat bukan Islam termasuk aktiviti agama Hindu, penganjuran sambutan perayaan dan aktiviti kesenian telah membantu pelbagai pihak.

“Dalam Pembentangan Belanjawan 2021 nanti, banyak inisiatif dan insentif akan diperkenalkan untuk golongan tertentu termasuk masyarakat Hindu dengan lebih banyak kemudahan akan ditawarkan.

“Memandangkan tahun ini kita sambut Deepavali dalam tempoh PKPB, hanya 30 orang yang dibenarkan berada di dalam kuil dalam satu-satu masa untuk tujuan sembahyang.

“Manakala sambutan Deepavali di kediaman hanya 20 orang maksima dalam satu-satu masa.

“Walaupun Deepavali disambut sederhana pada tahun ini, ianya tetap disambut dengan gembira,” kata Arul Kumar.

500 set makanan asas diagihkan kepada 500 keluarga Hindu Nilai

Arul Kumar yang juga ADUN Nilai berkata, sepanjang dua minggu lepas, pelbagai jenis bantuan telah diberikan kepada masyarakat Hindu yang kurang berkemampuan oleh ADUN, Ahli Parlimen dan Penyelaras DUN di seluruh 36 DUN di Negeri Sembilan.

“Bantuan diberikan kepada masyarakat Hindu yang berpendapatan rendah untuk meringankan beban mereka terutamanya golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Di DUN Nilai saya telah mengagihkan 500 set barang keperluan makanan asas kepada 500 keluarga Hindu.

“Sumbangan barangan makanan ini bernilai RM40 ribu,” jelas Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button