Berita

Arul Kumar, Loke dan Seri Pajam Development ganding bahu bina rumah baru untuk OKU

NILAI: Pada 11 April lepas sebuah rumah di Kampung Baru Nilai telah musnah akibat kejadian kebakaran. Rumah ini didiami oleh tiga adik beradik berusia 50an dan dua daripada mereka merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Justeru, Pusat Khidmat Rakyat DUN Nilai, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban dan MPKK Kampung Baru Nilai telah melancarkan kutipan derma untuk membina semula sebuah rumah kepada tiga orang adik beradik ini supaya mereka mempunyai tempat tinggal yang selesa.

ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar berkata, selepas dua hari pelancaran kutipan derma, beliau telah dihubungi oleh pemilik syarikat pemaju perumahan Seri Pajam Development dan menawarkan diri untuk membina sebuah rumah baru di bawah program CSR syarikat tersebut.

“Hari ini sebuah rumah yang mempunyai semua kemudahan asas dengan kos RM100,000 telah siap dibina oleh Seri Pajam Development dan telah menyerahkan kunci rumah kepada pemilik rumah tersebut.

“Hasil kutipan derma lebih kurang RM8,000 pula akan digunakan untuk membeli kelengkapan rumah seperti perabot, barangan elektrikal dan dapur untuk keselesaan tiga orang adik beradik yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu untuk berdikari.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat Seri Pajam Development yang telah membina sebuah rumah yang baru ini untuk keluarga ini, yang sebelum ini hilang segala-galanya.

“Terima kasih juga kepada orang awam dan syarikat swasta lain yang turut menyumbang kewangan untuk membantu keluarga ini,” jelas Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button