Aktiviti

Bagan Pinang: Pesakit penyakit kronik disantuni

BAGAN PINANG: Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Encik Farhan Fauzi dan Penyelaras DUN Bagan Pinang, Tuan Nasir Raman telah mengadakan kunjungan prihatin ke atas beberapa keluarga di Kampung Bagan Pinang dan Kampung Baru Si Rusa.

Tujuan ziarah ini adalah untuk menyantuni dan menyerahkan sumbangan kewangan serta barangan keperluan dapur kepada pesakit berpenyakit kronik.

Keluarga pertama yang diziarahi ialah Hanafiah Husin yang merupakan seorang bapa kepada lima orang anak yang menghidapi kanser hidung tahap empat yang baru dikesan sebulan yang lalu.

“Kesihatan beliau semakin merosot dari hari ke hari dan kini dijaga oleh isterinya Siti Khadijah.

“Kunjungan kedua pula adalah ke rumah Abd Halim Taib, 59, yang merupakan seorang pesara tentera.

“Beliau menghidapi penyakit kencing manis yang kronik sehingga menjejaskan penglihatannya.

“Sebelum ini beliau mencari rezeki dengan menjaja air tebu dan kini terpaksa bergantung harap pada isteri yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah sekolah tempatan,” kata Farhan.

Penerima ketiga, Rosma Jamaluddin juga menghidapi penyakit kencing manis dan hanya mampu bergerak dengan kerusi roda akibat kakinya yang telah dipotong.

“Beliau kini sedang menanti sumbangan kaki palsu.

“Semoga segala urusan mereka dipermudah dan sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban keluarga,” ujar Nasir.

Sementara itu Nasir merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan yang menyumbang 100 set barangan keperluan dapur di bawah program ERAT@NS untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di DUN Bagan Pinang.

Show More

Related Articles

Back to top button