Berita

Bakri: Lelaki gelandangan kini tidak perlu tidur bawah jambatan

Kakak Kamarulzaman gembira adiknya sudah memiliki rumah sendiri

KLAWANG: Seperti mana yang dijanjikan oleh ADUN Klawang, YB Bakri Sawir sebelum ini; sebuah rumah untuk seorang gelandangan bernama Kamarulzaman Siku telah siap dibina.

Justeru, satu majlis ringkas penyerahan rumah ini kepada Kamarulzaman Siku telah diadakan di Kampung Mengkan.

Bakri yang juga Exco Pertanian dan Industri Makanan berkata, rumah berharga RM9,650 itu dibina menerusi peruntukan DUN Klawang.

“Pembinaan rumah ini mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan dan saya berharap Kamarulzaman akan tinggal di rumah ini dengan lebih selesa.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memaklumkan keadaan Kamarulzaman kepada saya dan seterusnya saya mengambil tindakan susulan dengan membina sebuah rumah untuk beliau,” kata Bakri.

Kakak Kamarulzaman terharu nasib adiknya dapat perhatian Bakri

Sementara itu Otemah Siku, 72, kakak kepada Kamarulzaman berkata, beliau gembira kerana akhirnya adik lelakinya sudah memiliki rumah sendiri dan selepas ini tidak lagi tidur di bawah jambatan.

“Saya akan belikan katil dan tempat menyimpan pakaian untuknya dan berharap dia selesa tinggal di rumah ini.

“Rumah yang dibina ini sesuai untuk adiknya yang bujang dan ia turut dilengkapi dengan bilik air,” katanya.

Otemah berkata, rumah ini dibina berhampiran rumahnya bagi memudahkan adiknya datang ke rumahnya untuk makan dan minum.

“Sebelum ini adik lebih suka tidur di bawah jambatan yang hanya terletak 200 meter dari rumah berikutan tidak mempunyai rumah sendiri.

“Saya pernah ajak beliau tinggal bersama dengan adik-beradik lain namun dia tidak mahu menyusahkan adik-beradiknya,” kata Otemah.

Otemah berkata, dia terharu nasib adiknya itu mendapat perhatian Bakri yang sebelum itu berjanji mahu menyelesaikan masalah adiknya itu.

Turut hadir di majlis ini, Pegawai Daerah Jelebu, Encik Abdul Rahim A Aziz.

 

Foto: Norazizi Aziz

 

Show More

Related Articles

Back to top button