Berita

Bakri mahu bina rumah untuk lelaki tidur bawah jambatan

KLAWANG: ADUN Klawang, YB Bakri Sawir berkata, beliau akan berusaha membina sebuah rumah untuk seorang lelaki bujang berusia 57 tahun yang tidur di bawah jambatan Sungai Triang.

“Sejurus selepas mendapat maklumat saya telah melawat beliau, yang menjadikan bawah jambatan Sungai Triang di Kampung Mengkan, Kuala Klawang sebagai tempat tidur.

“Setelah disiasat ia adalah kehendak beliau sendiri selain di dalam pengetahuan saudara terdekatnya.

“Walaubagaimanapun, saya memandang serius nasib beliau yang tidak memiliki rumah dan saya akan membantu menyelesaikan masalah lelaki ini,” kata Bakri.

Bakri yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau sudah mendengar sendiri penjelasan daripada kakak kandung lelaki berkenaan yang tinggal kira-kira 200 meter dari jambatan berkenaan.

“Lelaki ini sebenarnya hanya menjadikan bawah jambatan itu sebagai tempat tidur tetapi pada sebelah siangnya beliau akan balik ke rumah kakaknya untuk makan dan minum.

“Kita turut memujuknya untuk dia tinggal sementara bersama adik beradik yang lain namun dia menolak kerana tidak mahu menyusahkan adik beradik yang lain,” katanya selepas meninjau lokasi lelaki berkenaan tinggal pada waktu malam.

Jangan sensasikan sebagai isu

Menurut Bakri, berdasarkan penjelasan kakaknya, lelaki ini sudah tinggal di bawah jambatan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

“Kita juga berharap orang ramai tidak menjadikan kisah ini sebagai isu atau mensensasikannya, bagi menjaga perasaan ahli keluarga.

“Saya juga akan merujuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan ada dakwaan lelaki ini menerima bantuan bulanan daripada JKM selain turut mendapat perhatian pelbagai individu dan pertubuhan bukan kerajaan ( NGO) yang memberi sumbangan kewangan dan makanan,” ujar Bakri..

Sementara itu, Pengerusi Sedekah RM1 Malaysia, Encik Dzullidain Razali berkata, pihaknya turut terpanggil membantu nasib lelaki berkenaan dengan memberi bantuan makanan dan wang tunai.

Show More

Related Articles

Back to top button