Aktiviti

Bakri santuni ‘frontliners’ sempena Ramadhan

Jelajah 14 MPKK DUN Klawang untuk mendekati komuniti kampung

KLAWANG: ADUN Klawang, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir bersama MPKK DUN Klawang telah mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada orang ramai dan ‘frontliners’ yang bertugas di sekitar pekan Klawang.

Beliau mengagihkan bubur lambuk kepada petugas Angkatan Pertahanan Malaysia, Bomba, Polis dan kakitangan Hospital Jelebu.

“Semoga sedikit sumbangan ini dapat menggembirakan semua yang menerima dan menunjukkan bahawa kita tidak pernah lupa kepada jasa mereka yang bertungkus-lumus menjalankan tugas mengawal negara,” kata Bakri.

Sementara itu, Bakri hadir di majlis berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih bersama penduduk Kampung Batu Serambai.

Dalam majlis ini Bakri turut berkesempatan menyerahkan bantuan ‘tablet’ (peranti pintar) kepada lima pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dari Kampung Batu Serambi.

“Di samping penyampaian ‘tablet’, saya juga menyerahkan sumbangan RM1,000 ringgit untuk kegunaan masjid.

“Program sebegini adalah amat penting bagi mendekati komuniti kampung, beramah mesra dengan mereka serta mendengar permasalahan mereka.

“Ini sesuai dengan saranan YAB Menteri Besar yang mengharapkan pihak MPKK memainkan peranan yang penting menyampaikan maklumat kepada penduduk di dalam kariah masing-masing,” ujar Bakri.

Bakri berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh 14 MPKK DUN Klawang bagi mengadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk dan akan memberi sumbangan kepada pihak masjid.
“Mudah-mudahan dengan sumbangan ini, pihak masjid dapat memperkasakan intitusi ini dan menjalankan aktiviti keagamaan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Turut hadir Pengerusi MPKK Batu Serambai, Encik Nazri Sidek dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid.

Show More

Related Articles

Back to top button