Berita

Belanjawan 2021: Insentif Penempatan Semula Penjaja RM300

RM3 juta kos pembinaan Pusat Penempatan Semula Penjaja

SEREMBAN: Bagi memastikan nasib penjaja dan peniaga kecil terus terbela, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bersetuju untuk memberikan insentif khas berbentuk wang tunai secara one-off berjumlah RM300.00 kepada setiap penjaja yang ditempatkan semula.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 Jumaat lepas berkata; Insentif Penempatan Semula Penjaja ini melibatkan peruntukan berjumlah RM1 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,300 penjaja.

Aminuddin berkata, sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin dan peduli rakyat, nasib penjaja ini tidaklah dibiar begitu sahaja tanpa pembelaan. Sebaliknya, penjaja-penjaja yang diarahkan berpindah ini, telah ditempatkan di satu lokasi baharu yang lebih tersusun.

Justeru itu, untuk tahun 2021, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membina tapak-tapak penjaja berpusat di beberapa lokasi yang strategik di seluruh Negeri Sembilan.

Kerajaan Negeri mendidik masyarakat hormati undang-undang

“Semasa sidang Dewan pada bulan September yang lalu, pihak pembangkang telah menuduh Kerajaan berlaku zalim ke atas penjaja yang berniaga di tepi-tepi jalan kerana kononnya merobohkan gerai-gerai penjaja tanpa belas kasihan.

“Di sini, izinkan saya memberikan penjelasan sekali gus membezakan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan berbanding Kerajaan yang dahulu.

“Pertamanya, sebagai Kerajaan, kita perlu sentiasa mendidik masyarakat supaya menghormati kedaulatan undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

“Sebagai sebuah negara yang menjunjung demokrasi perlembagaan, anggota pentadbiran dan ahli-ahli politik, perlu menghormati prinsip dan bidang tugas penjawat awam yang sekadar menjalankan tugas serta tanggungjawab berlandaskan kepada peraturan-peraturan sedia ada,” jelas Aminuddin.

Jadilah pemimpin yang adil dan benar walaupun pahit

Menurut Aminuddin, tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh Majlis Bandaraya Seremban dan beberapa buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain, adalah kerana lokasi perniagaan mereka terletak di kawasan yang merbahaya terutamanya melibatkan isu keselamatan lalu lintas.

Sebahagian mereka mendirikan gerai-gerai binaan kekal di bahu-bahu jalan, persimpangan, rezab sungai, rezab kawasan lapang, laluan pejalan kaki, taman permainan dan sebagainya.

Selain isu kebersihan dan keselamatan lalu lintas, perbuatan ini secara jelas bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171), Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

“Janganlah kita sebagai pemimpin menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan diri sendiri tidak betul. Jadilah kita pemimpin yang adil dan benar walaupun pahit.

“Janganlah kita menjadi pemimpin, ibarat ‘limau masam sebelah, perahu karam sekerat, tiba di mata dipicingkan, tiba di perut dikempiskan’.

MB tidak halang pegawai kerajaan kuatkuasa undang-undang

“Sebab itulah, walaupun saya sebagai Menteri Besar, tidak pernah campur tangan atau menghalang pegawai-pegawai kerajaan melaksanakan tugas mereka dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Ini terbukti dengan kejayaan Majlis Perbandaran Port Dickson membersihkan pantai Telok Kemang dari khemah-khemah penjaja yang tidak terurus sejak puluhan tahun lamanya, sehingga menjejaskan keindahan pantai Port Dickson.

“Namun kini, keadaan sama sekali berubah. Pantai Telok Kemang di Port Dickson telah mula dibanjiri ramai pengunjung dari luar Negeri Sembilan kerana kebersihan dan keindahan pantainya,” kata Aminuddin.

Belanjawan Negeri Sembilan 2021 bertemakan ‘‘Merangsang Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Show More

Related Articles

Back to top button