Berita

Belanjawan 2021: RM6 juta untuk lahir dan perkasa usahawan mikro

Had pinjaman maksimum tanpa faedah TUNS PLUS sebanyak RM15 ribu

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bukan sahaja mahu melahirkan lebih ramai usahawan mikro, malah mahu memperkasakan peniaga kecil yang berdaya saing.

Justeru, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang diperkenalkan pada tahun 2019 akan diteruskan ke tahun hadapan.

Aminuddin juga mengumumkan satu lagi inisiatif baru iaitu TUNS PLUS dalam Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 pada hari Jumaat.

TUNS – Geran RM3 ribu lahir usahawan mikro

Aminuddin berkata, inisiatif TUNS diperkenalkan sejak tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta. Ianya adalah pemberian geran sebanyak RM3 ribu kepada usahawan mikro.

Jumlah penerima geran TUNS pada tahun 2019 adalah seramai 1,046 penerima dan sehingga Oktober 2020, jumlahnya adalah seramai 2,014 penerima.

“Inisiatif ini terbukti mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, apabila jumlah permohonan yang diterima sehingga kini telah mencecah 8,689 orang yang mana ianya telah melepasi peruntukan asal sebanyak RM5 juta.

“Atas sambutan yang menggalakkan, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta lagi menjadikan keseluruhan RM6 juta bagi tahun 2020.

“Inisiatif ini ternyata membantu meningkatkan pendapatan usahawan mikro di antara 10 hingga 15 peratus berbanding sebelumnya.

“Justeru, inisiatif ini diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 juta,” jelas Aminuddin.

TUNS PLUS – pinjaman tanpa faedah perkasa usahawan mikro

Menurut Aminuddin, selain dari pemberian geran sebanyak RM3 ribu, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan merasakan, usahawan mikro ini perlu terus dibimbing dan diperkasakan supaya terus berkembang dan berdaya maju dalam perniagaan masing-masing.

“Untuk itu, saya mengumumkan satu lagi inisiatif baharu pada tahun 2021 dikenali sebagai TUNS PLUS iaitu pemberian pinjaman mudah tanpa faedah dengan had pinjaman maksimum sebanyak RM15 ribu.

“Menerusi inisiatif ini, usahawan mikro akan dapat memperluaskan perniagaan dengan tambahan modal yang boleh digunakan untuk membeli peralatan, pengiklanan dan promosi produk.

“Sebanyak RM3 juta akan disediakan pada tahun hadapan yang dijangka akan dapat membiayai seramai 200 orang usahawan mikro.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS), akan terus memainkan peranan penting sebagai peneraju agenda pembangunan usahawan khususnya Bumiputra, seiring dengan matlamat penubuhannya,” ujar Aminuddin.

Belanjawan Negeri Sembilan 2021 bertema ‘‘Merangsang Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Show More

Related Articles

Back to top button