Berita

Belia tani Felda Jelai 4 curi perhatian Menteri Besar

Aminuddin mahu pertanian menjadi salah satu alternatif jana pendapatan untuk golongan belia

GEMAS: Siapa sangka, berkat usaha sekumpulan pemuda dari Felda Jelai 4 yang menceburi bidang pertanian, berjaya mencuri perhatian YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Aminuddin Harun.

Penyelaras DUN Gemas, Puan Rusnani Saring berkata, baru-baru ini beliau berkongsi kisah 10 belia ini yang mengusahakan tanaman kontan secara berkelompok dan Menteri Besar terus menyatakan hasratnya untuk turun padang dan melihat sendiri kejayaan belia tani tersebut.

Justeru, Pejabat Penyelaras DUN Gemas dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Gemas telah menganjur program Cakna Sekampung DUN Gemas 2020.

Aminuddin yang ditemani isterinya Yang Amat Berbahagia Datin Seri Wan Hasni Wan Yusuf, telah dibawa melihat sendiri tapak pertanian yang diusahakan oleh kumpulan belia tani tersebut di Tapak Semaian Getah Felda Jelai 4.

 

“Saya amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda ini.

“Hasrat saya mahu melihat bidang pertanian menjadi salah satu bidang yang boleh menjana pendapatan untuk golongan belia.

“Hari ini anak muda di hadapan kita ini telah membuktikan ianya bukanlah perkara yang mustahil.

“Hubungi Jabatan Pertanian Negeri Sembilan bagi memohon bantuan dan tunjuk ajar. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong apa juga usaha yang manfaat kepada rakyat,” kata Aminuddin.

 

Menyedari keperluan hakiki kumpulan belia tani tersebut, Pejabat Penyelaras DUN Gemas, menyumbang peralatan jentera pertanian iaitu mesin penggembur tenah (power tiller) dan pam penyembur racun berenjin kepada kumpulan belia tani ini.

Aminuddin menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengerusi Belia Komuniti Felda Jelai 4, Encik Mohd Nizam bin Md Ali yang mewakili 10 belia tani tersebut.

Melihat kesungguhan, minat dan keazaman yang ditunjukkan oleh belia yang terlibat, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan turut menyumbangkan lain-lain keperluan kepada komuniti belia tani tersebut seperti baja, anak benih sayuran, racun serangga, bakul sayuran dan peralatan pertanian.

Jabatan Pertanian turut menyerahkan Sijil Geran Siswazah Tani bernilai RM10,000 kepada Mohd Shariaat Abdul Rahman, Mohd Hafiz Abdul Karim dan Rabiatul A’Dawiyah Nordin.

Dalam majlis tersebut Aminuddin turut menyerahkan sumbangan Pejabat Penyelaras DUN Gemas berbentuk barangan peralatan keceriaan dan kebersihan kepada semua MPKK di dalam DUN Gemas. Sumbangan diterima oleh Encik Ahmad Hamidi Seman mewakili semua MPKK tersebut.

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Tampin, Puan Suhaiza Sharudin; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Encik Hisyam Yacob; Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Nik Hamidah Nik Husin; Penolong Pegawai Daerah Kecil dan Tanah Gemas, Puan Suriani Salihan, Wakil Ahli Parlimen Tampin, Tuan Abdul Latif A.Tambi; Pengurus-pengurus tanah rancangan Felda serta Pengerusi MPKK dan JKKR DUN Gemas.

Show More

Related Articles

Back to top button