Kolumnis

Bersama Tok Min kukuhkan khidmat kepada rakyat

MOHD RASHIDI HASSAN: TANGGAL 12 Mei 2020 yang lalu, genap dua tahun Dato’ Seri Aminuddin Harun diberi amanah untuk mengemudi jawatan Menteri Besar ke-lapan, Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat berusia 53 tahun itu, merupakan Menteri Besar pertama, yang bukan daripada Barisan Nasional, selepas parti-parti gabungan Pakatan Harapan mendapat mandat dengan memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei 2018.

Aminuddin yang kini dikenali dengan julukan ‘Tok Min’, merupakan anak jati Kampung Pachitan, Port Dickson. Sosok lulusan Universiti Teknologi MARA dalam bidang perniagaan ini mula dikenali ramai selepas berjaya memenangi kerusi DUN Sikamat pada tahun 2008, menewaskan calon Umno-BN yang juga penyandang jawatan, Md Yusop Harmain Shah, dengan majoriti 499 undi.

Sebelum menyertai politik, graduan jurusan perniagaan ini, pernah bertugas dengan agensi Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) selama empat tahun. Selepas itu beliau menimba pengalaman di sektor swasta selama 12 tahun.

Minatnya dalam bidang politik berputik sejak zaman remaja lagi. Sebelum menyertai Parti Keadilan Nasional (kini PKR) pada 1999, Aminuddin pernah menganggotai Umno.

Beliau dilantik menjadi setiausaha Umno Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda Umno DUN Jimah (1997-1998).

Aminuddin bukan sahaja menunjukkan minat dalam politik semata-mata. Beliau juga merupakan aktivis masyarakat menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sewaktu mudanya. Kini aktif bersama Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah).

ABIM merupakan sebuah gerakan dakwah yang diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (kini Presiden Parti Keadilan Rakyat-PKR) dan Ustaz Abdul Wahab Zakaria pada tahun 1971. Ia merupakan sebuah organisasi belia Islam, yang berusaha membantu mendidik anak-anak bangsa mendapatkan mutu pendidikan yang setara dengan program-program akademik, dan dalam masa yang sama menjalankan aktiviti kebajikan untuk golongan yang memerlukan.

Gelombang politik negara yang tercetus selepas pemecatan Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, turut memberi impak kepada pola pemikiran politik Aminuddin. Tanpa ragu-ragu beliau nekad meninggalkan Umno. Beliau menyertai gerakan Reformasi dan menganggotai Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) pada tahun 1999.

Beliau memulakan karier politiknya dalam KEADILAN dari bawah, sehingga selepas gabungan KEADILAN dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi PKR, Aminuddin yang dilantik menjadi Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR pada tahun 2014.

Di beri mandat untuk bertanding di DUN Sikamat pada tahun 2008, meneruskan kemenangan pada 2014 dan menang dengan majoriti yang lebih besar pada tahun 2018. Sebelum itu, pada Ogos 2017, Aminuddin dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan. Pakatan Harapan merupakan gabungan parti PKR, AMANAH, DAP dan Bersatu yang dibentuk pada tahun 2015.

Untuk rekod, gelombang Reformasi berikutan daripada pemecatan Anwar, turut memberi kesan kepada Negeri Sembilan pada PRU ke-12 pada tahun 1999. Sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2002/2003, Negeri Sembilan mempunyai 32 kerusi DUN (kini 36 kerusi).

Pada pilihan raya tersebut, walaupun BN menewaskan gabungan Barisan Alternatif (KEADILAN, PAS dan DAP) dengan berjaya memenangi kesemua 32 kerusi, namun terdapat 10 kerusi DUN yang dimenangi di bawah majoriti 1,000 undi. Majoriti paling tipis di DUN Klawang, dimenangi calon BN, Dato’ Shamsul Bahari Mat, menewaskan calon KEADILAN, Bohari Abd Latif hanya dengan 69 undi sahaja.

Fakta ini menunjukkan bahawa trend atau pola pemikiran rakyat di Negeri Sembilan, khususnya di kalangan orang-orang Melayu berevolusi secara beransur-ansur mengalihkan sokongan tradisi daripada Umno-BN kepada parti-parti pembangkang ketika itu.

Pola pemikiran dan trend sokongan ini berkembang seiring dengan catatan peningkatan peratusan undi popular yang diraih oleh Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat (2008 dan 2013) dan kini Pakatan Harapan, sehingga berjaya menewaskan BN di Negeri Sembilan pada 9 Mei 2018.

Sebagai Menteri Besar pertama dari parti bukan tradisi, sejak kemerdekaan negara pada 1957 bukan tugas mudah buat Aminuddin. Pemikiran dan amalan yang diterapkan oleh Umno-BN sejak 61 tahun di Negeri Sembilan, sudah bertunjang akar umbinya.

Namun sosok yang bernama Aminuddin ini bukan calang-calang kentalnya. Dengan latar belakang keperibadian keagamaan dan pengalamannya sebagai pegawai kerajaan, pengalaman di sektor swasta serta pengalamannya sebagai ahli politik (tiga penggal menjadi ADUN), kita yakin beliau mampu mengemudi Kerajaan Negeri Sembilan dengan kemas, berhemah dan tersusun.

Apa pun cabaran ini tidak harus dibebankan di atas pundak beliau seorang sahaja. Tanggungjawab mengemudi negeri harus dilaksanakan secara kolektif. Konsep urustadbir ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’ tidak akan tercapai tanpa mempunyai gagasan atau kumpulan sokongan yang kuat kepada Menteri Besar.

Setiap anggota Exco, wakil rakyat, pegawai kerajaan negeri, pegawai-pegawai kanan Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, Ketua Kampung dan MPKK, kesemuanya ada tanggungjawab membantu Menteri Besar, mereka harus melaksanakan tugas di setiap peringkat dengan baik dan sempurna, iaitu memberikan khidmat terbaik buat rakyat Negeri Sembilan.

Sebagaimana hadis pesanan Rasulullah s.a.w, “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang yang berada di bawah jagaan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam tempoh dua setengah tahun kehadapan, kita sudah sepatutnya lebih bersedia untuk mengharungi cabaran politik, ketidaktentuan ekonomi dan merapatkan jurang perbezaan kaum serta agama.

Dengan kesepakatan yang dibina, dengan hormati menghormati, dengan kepekaan kepada keperluan rakyat, ia akan mempertingkatkan martabat Negeri Sembilan. Insya Allah.

Mohd Rashidi Hassan merupakan Bekas Setiausaha Akhbar Kepada Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

Show More

Related Articles

Back to top button