Berita

Cabutan kerja undi penyenggaraan jalan Marris Negeri Sembilan

Cabutan diadakan secara live streaming

Program Cabutan Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Di Bawah Peruntukan Marris Negeri Sembilan Tahun 2020 Yang Diadakan Secara Live Streaming.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama pada pagi ini bagi menjayakan Program Cabutan Kerja Undi Penyenggaraan Jalan di Bawah Peruntukan MARRIS Negeri Sembilan Tahun 2020.

Program cabutan undi pada kali ini adalah merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di Negeri Sembilan secara live streaming bagi projek-projek di bawah peruntukan Akaun Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri Sembilan.

Cabutan Undi secara live streaming ini adalah merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan sebagai langkah penjarakan sosial, dalam usaha membendung penularan pendemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini dan turut mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan.

Saya berharap, penjarakan sosial dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan sepertimana yang kita lakukan pada hari ini dapat terus diterap dan diamalkan sebagai Norma Baharu dalam cara kita bekerja seharian. Pendekatan ini juga sesuai dengan hasrat kerajaan dalam menambaik cara kita bekerja selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam persekitaran global yang lebih mencabar dan kompetitif.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan sebanyak 1,108 projek yang bernilai RM269,439,580.00 yang merangkumi 820 projek untuk kontraktor G1, 247 projek untuk G2, 20 projek untuk G3, 17 projek untuk G4, 1 projek untuk G5, 2 projek untuk G6 dan 1 projek untuk G7 di bawah peruntukan Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri Sembilan.

Bagi meransang pemulihan ekonomi Kerajaan Negeri Sembilan yang terjejas akibat pendemik Covid-19 ini, Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan pelaksanakan segera sebanyak 429 kerja undi penyenggaraan jalan di Negeri Sembilan yang setiap satunya bernilai tidak melebihi RM100,000.00, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM34,533,078.00.

Selain itu juga, terdapat tambahan 7 buah projek lagi daripada JPS yang turut ditawarkan dengan nilai sebanyak RM395,796.00 seperti yang telah dimaklumkan oleh Pengarah JKR Negeri Sembilan sebentar tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kerja-kerja yang ditawarkan sebanyak RM34,928,874.00.

Seperti yang telah dimaklumkan sebentar tadi juga, sebanyak 59.28% kontraktor bumiputra berdaftar di bawah kelas G1 di Negeri Sembilan telah berjaya mendaftar melalui online untuk kerja-kerja undi ini. Tahniah saya ucapkan.

Bagi kontraktor-kontraktor yang tidak sempat mendaftar, ditolak pendaftarannya ataupun yang tidak berjaya dalam undian pada hari ini, InsyaAllah Tuan-Tuan dan Puan-Puan masih lagi berpeluang bertanding dalam banyak lagi projek-projek dibawah peruntukkan MARRIS yang akan ditawarkan selepas ini. Selain 65 buah projek penyenggaraan dan baik pulih berskala kecil dibawah Pakej Ransangan Ekonomi Kerajaan Negeri Sembilan bernilai RM 5 juta, yang akan turut ditawarkan secara undian.

Bagi mencapai matlamat dalam meransang pembangunan negeri disamping membantu golongan kontraktor GI yang terjejas dengan musibah Covid-19, semua projek-projek yang akan dianugerahkan melalui undian ini perlulah dimulakan selewat-lewatnya pada bulan Jun 2020 dan disiapkan sebelum bulan Oktober 2020, agar pembayaran kerja siap dapat dibuat dengan segera pada tahun ini juga.

 

 

 

Mana-mana kontraktor yang berjaya dilantik, perlu mematuhi SOP Industri Pembinaan semasa melaksanakan kerja-kerja yang dianugerahkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, antaranya ialah:

  1. Mengemukakan maklumat berkaitan melalui CIMS CIDB di Portal CIDB;
  2. Merekod dan mengisytiharkan butiran pekerja yang berada di tapak bina/ premis untuk rujukan pihak berkuasa;
  3. Mengambil suhu badan dan menyaring gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas mana-mana orang setiap hari sebelum memasuki tapak bina;
  4. Menyediakan kemudahan mencuci tangan dan hand sanitizer;
  5. Melakukan nyah cemar setiap hari dan sebanyak tiga (3) kali sehari di kawasan gunasama.

Agensi-agensi Kerajaan seperti JKR, JPS dan PBT pula, haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pematuhan SOP Industri Pembinaan tersebut ke atas setiap projek, agar semua yang terlibat dalam projek-projek tersebut terhindar daripada penyakit Covid-19 dan projek dapat disiapkan mengikut jadual.

Mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas sokongan, komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga ditujukan khusus kepada pihak JKR Negeri Sembilan yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis kita pada hari ini.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat. Patuhilah segala nasihat dan peraturan yang telah ditetapkan dalam PKPB yang sedang berkuatkuasa. Janganlah mengambil risiko dengan merentas sempadan negeri untuk pulang ke kampung berhari raya. Stay Safe. Stay at Home.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan program cabutan kerja undi penyenggaraan jalan di bawah peruntukan MARRIS negeri sembilan tahun 2020 yang diadakan secara live streaming.

Sekian terima kasih.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Negeri Sembilan Bersih, Muafakat, Sejahtera

Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun

Menteri Besar Negeri Sembilan

21 Mei 2020.

Show More

Related Articles

Back to top button