BeritaProgram

Negeri Sembilan peruntuk RM10 juta bina Rumah Harapan Rakyat

BAJET 2023: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membina Rumah Harapan Rakyat (RHR) oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sehingga kini sebanyak tujuh buah RHR telah berjaya disiapkan dan 108 buah rumah sedang giat dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).

“Rumah berharga RM81,000 dilengkapi dengan tiga buah bilik dan dua buah bilik air dengan keluasan lantai 836 kaki persegi.

“Pemohon hanya perlu membayar pinjaman tanpa faedah sebanyak RM70,000 dalam tempoh 25 tahun, manakala selebihnya akan diberikan subsidi oleh Kerajaan Negeri,” jelas beliau.

Aminuddin berkata, inisiatif ini telah menerima permintaan yang sangat tinggi dari rakyat khususnya di kalangan B40 yang masih belum memiliki rumah.

“Jumlah permohonan yang diterima sehingga November 2022 adalah sebanyak 466 permohonan namun kelulusan adalah terhad kepada 60 buah rumah sahaja setahun.

“Kerajaan Negeri juga sedang bekerjasama dengan MAINS bagi menambah dana menggunakan duit zakat bagi membina RHR untuk golongan asnaf yang dilaksanakan oleh PKNNS selaku peneraju,” ujarnya.

Aminuddin turut menambah, selain dari RHR yang dibina oleh Kerajaan Negeri, terdapat juga rumah-rumah mampu milik yang dibina oleh pemaju swasta bagi memenuhi keperluan memiliki kediaman sendiri di kalangan penduduk Negeri Sembilan.

“Sepanjang tempoh tiga tahun dari 2019 hingga 2021, sebanyak 18,796 unit Rumah Mampu Milik Swasta dan 351 unit rumah penjawat awam telah berjaya disiapkan,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button