Berita

Cha gesa Kerajaan Pusat laksana PKP yang lebih ketat

Moratorium automatik tanpa faedah untuk enam bulan, bantuan kewangan RM2 ribu kepada B40 dan M40, pemberian 150 ribu komputer riba dan rebat bil TNB 30%

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin menggesa Kerajaan Pusat PN supaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat dan berkesan dengan serta-merta, sambil melaksanakan lima langkah untuk membantu rakyat, agar rantaian penularan pandemik Covid-19 dapat diputuskan.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan Pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan PKP yang mirip kepada versi asal yang pernah dilaksanakan pada Mac tahun 2020, selama sekurang-kurangnya empat minggu, kerana ia dipercayai akan berkesan dalam membendung penularan pandemik.

“Pelaksanaan PKP2.0 pada awal tahun ini dan PKP3.0 yang dilaksanakan sejak awal Mei 2021 dilihat terlalu longgar dan tidak berkesan dalam memutuskan rantaian penularan pandemik, yang mengakibatkan kes harian semakin bertambah saban hari.

“Statistik harian daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri membuktikan kegagalan SOP sedia ada di bawah PKP3.0.

“Saya terkilan dengan kelembapan Kerajaan Pusat dan MKN dalam mengambil tindakan untuk membendung penularan pandemik. Walaupun sejak 19 Mei, kes harian telah melebihi 6,000 kes setiap hari.

“Selain kes baru harian, kes kematian harian dan jumlah pesakit dalam wad ICU juga semakin meningkat dan membimbangkan,” kata Cha.

Nyawa dan kesihatan rakyat lebih penting dari ekonomi

Cha berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya memberikan keutamaan kepada nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia berbanding dengan kepentingan ekonomi, ketika kes Covid-19 semakin meningkat di kalangan komuniti rakyat tempatan.

“Kegagalan MKN telah menyebabkan virus Covid-19 semakin “mengganas” dan mengorbankan nyawa rakyat Malaysia setiap hari.

“Angka kematian masa kini sangat membimbangkan dan situasi semasa ini tidak pernah dialami dalam komuniti Malaysia selama ini,” ujarnya.

Lima langkah bantu rakyat dari segi kewangan dalam tempoh PKP ketat

Cha yang juga Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Sembilan, mencadangkan agar Kerajaan Pusat melaksanakan lima langkah berikut:

1. Mengarahkan agar bank-bank melaksanakan moratorium secara automatik tanpa faedah bagi pinjaman untuk tempoh masa enam bulan. Kebiasaannya bank-bank akan menuruti arahan daripada Kementerian Kewangan dan langkah ini tidak melibatkan dana kerajaan.

2. Memberikan bantuan kewangan RM2,000 secara one-off kepada setiap keluarga B40 dan M40 dan bantuan kewangan ini hendaklah disalurkan pada minggu pertama. Bantuan ini dilihat akan membantu rakyat yang terkesan kerana pelaksanaan PKP yang ketat yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.

3. Memberikan bantuan subsidi upah selama tiga bulan kepada majikan yang tidak membuang pekerja, agar tiada rakyat yang kehilangan kerja dalam tempoh masa ini.

4. Menyegerakan pemberian 150,000 unit laptop (komputer riba) kepada rakyat (pelajar) Malaysia sebagaimana yang dijanjikan pada November 2020, agar PdPR boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan.

5. Mengarahkan TNB memberikan rebat atau pengurangan sekurang-kurangan 30% kepada semua pelanggan domestik selama tiga bulan. Arahan ini tidak akan mengakibatkan komitmen kewangan kerajaan dan mampu dilaksanakan oleh TNB yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Menurut Cha yang juga Setiausaha DAP Negeri Sembilan, lima cadangan di atas adalah cadangan yang munasabah dan wajar dilaksanakan segera untuk membantu rakyat dari segi kewangan, ketika pelaksanaan PKP yang ketat.

“Kegagalan kerajaan dan MKN memberikan pertimbangan yang lebih kepada kesihatan dan keselamatan rakyat berbanding dengan kepentingan sektor ekonomi amat mengecewakan.

“Ia seolah-olah membuktikan slogan “Prihatin” oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin Yassin) hanya indah khabar dari rupa,” kata Cha.

 

Photo Credit: constructiontimes

 

Show More

Related Articles

Back to top button