Berita

Cha: Selepas setahun, Kerajaan PN gagal bendung pandemik Covid-19

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin hari ini mengecam kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha membendung pandemik Covid-19, walaupun selepas setahun negara kita menghadapi pandemik ini.

Cha berkata, kegagalan Kerajaan PN telah mengakibatkan risiko keselamatan kepada rakyat.

Malaysia mencatatkan kes positif Covid-19 yang pertama pada 25 Januari 2020. Ketika itu, ia melibatkan tiga orang warganegara China yang disahkan positif.

“Selepas setahun, kes positif Covid-19 di Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan rakyat. Pandemik ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan dan aspek ekonomi rakyat Malaysia, tetapi ia telah mendatangkan kebimbangan selepas jangkitan komuniti di kalangan masyarakat semakin bertambah.

“Malaysia pada peringkat awal telah mengawal penularan Covid-19 dengan baik, sebaik sahaja kes pertama dikesan pada 25 Januari 2020, Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu telah mengambil tindakan segera untuk mengekang penularan di kalangan masyarakat tempatan.

“Ini jelas membuktikan persiapan yang rapi dan secara professional telah dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu,” ujarnya.

SOP yang tidak konsisten dan kerap berubah

Cha berkata, selepas Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan pusat, kes positif harian Covid-19 telah meningkat, sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac 2020. Pelaksanaan PKP telah mengurangkan kes dan berjaya melandaikan graf penularan pada bulan Jun dan Julai 2020.

“Namun, kes positif Covid-19 kembali meningkat mulai bulan September 2020, iaitu semasa dan selepas PRN Sabah. Kegagalan Kerajaan PN membendung penularan telah menyaksikan lengkuk peningkatan berterusan sehingga kini, dan rakyat tidak tahu bila penghujungnya.

“Kes positif harian telah mencecah angka melebihi 4 ribu kes sehari, dan secara puratanya sejak awal bulan Januari 2021, ia adalah sekitar 3 ribu kes setiap hari. Ia merupakan purata yang paling tinggi untuk negara kita sejak bermulanya pandemik Covid-19, satu tahun yang lepas.

“Lengkuk peningkatan kes harian berpunca daripada sikap dan pendekatan Kerajaan PN yang tidak tegas dan tidak professional dalam menangani pandemik ini. Kegagalan juga berpunca daripada SOP yang tidak konsisten dan kerap berubah mengikut selera pimpinan Kerajaan PN,” kata Cha lagi.

SOP MKN sering menimbulkan kekeliruan

Menurut Cha, SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seringkali menimbulkan kekeliruan dan tidak melambangkan keperluan semasa. Keadaan ini menyebabkan pelaksanaan PKP hanya sekadar menyusahkan rakyat tetapi tidak berperanan untuk membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.

“Sebagai contoh, kenapakah kilang-kilang gergasi yang menjadi lubuk penularan Covid-19 dengan banyak kluster tempat kerja, masih dibenarkan beroperasi seperti biasa ketika pelaksanaan PKP 2.0.

“Sebaliknya pasar malam yang selama ini mematuhi SOP tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP 2.0. Persoalan timbul apakah kilang gergasi ‘berdarjat tinggi’ berbanding dengan penjaja di pasar malam?

“Selepas setahun berdepan dengan pandemik ini, kerajaan PN sepatutnya sudah matang dan lebih arif dalam mengubah atau meminda SOP sedia ada, agar ia selaras dengan keperluan semasa dan berkesan dalam mengekang penularan,” ulas Cha.

Cha berkata, kegagalan pihak kerajaan dalam pelaksanaan dan juga sikap pimpinan kerajaan yang ‘cakap tak serupa bikin’, yang hanya mahu rakyat biasa mematuhi SOP, tetapi pimpinan kerajaan PN tidak tertakluk kepada SOP yang mereka gariskannya sendiri, jelas memperlihatkan pendekatan ‘dua darjat’ yang diamalkan oleh Kerajaan PN.

Show More

Related Articles

Back to top button