Berita

Cha: Tiada keperluan untuk pengisytiharan darurat

Apakah keperluan mendesak untuk melaksanakan Darurat di negara kita? 

Saya merujuk kepada berita yang tersebar bahawa ada kemungkinan Darurat akan diisytiharkan oleh kerajaan. Laporan yang tular turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang berlangsung semalam telah bersetuju untuk diisytiharkan Darurat di negara kita.

Seperti mana majoriti rakyat Malaysia, saya turut terkilan dengan berita ini, dengan harapan berita ini tidak menjadi kenyataan.

Sebagai seorang pengamal undang-undang (peguam) dan penggubal undang-undang (Ahli Parlimen), saya terpanggil untuk memberikan ulasan berlandaskan lunas undang-undang yang ada, khasnya frasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Perkara 150 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan 3 situasi di mana Darurat boleh diisytiharkan, iaitu ketika keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara kita terancam.

Berapa negara laksana Darurat kerana pandemik Covid-19?

Kita sedia maklum pandemik Covid-19 yang melanda negara kita sejak awal tahun ini telah mengubah norma kehidupan rakyat Malaysia, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020, rakyat Malaysia telah mula menerima norma kehidupan baru dengan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi. Umum juga mengetahui bahawa tahap pematuhan rakyat Malaysia adalah antara yang terbaik berbanding dengan negara lain.

Pandemik Covid-19 merupakan masalah sejagat yang dihadapi oleh semua negara, dan hampir semua negara melaksanakan PKP dengan pendekatan dan kesesuaian masing-masing.

Berapakah negara di dunia yang telah melaksanakan Perintah Darurat kerana pandemik Covid-19? Yang kita tahu adalah hampir kesemua negara di dunia melaksanakan PKP, seperti mana yang kita laksanakannya sejak 18 Mac 2020.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri pernah mengakui bahawa pematuhan rakyat Malaysia terhadap PKP dan SOP di bawahnya adalah baik dan membanggakan. Maknanya, PKP telah memberikan kesan positif dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Jadi, apakah keperluan mendesak untuk melaksanakan Darurat di negara kita?

Apa motif Kerajaan PN laksana Darurat?

Majoriti rakyat Malaysia mengetahui bahawa keselamatan negara dan ketenteraman awam kita tidak terancam pada ketika ini. Tambahan pula, sektor ekonomi kita di peringkat pemulihan, walaupun agak perlahan.

Saya yakin jika Darurat diisytiharkan, ianya akan memberikan kesan dan impak negatif terhadap kehidupan harian rakyat Malaysia, pemulihan ekonomi dan menjejaskan keyakinan para pelabur dalam dan luar negara.

Apakah Kerajaan PN berniat mahu mencetuskan kegelisahan dan merencatkan pemulihan ekonomi? Darurat pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi

Rakyat turut tertanya-tanya apakah Darurat yang bakal diisytiharkan ini berpunca daripada kurangnya keyakinan PN terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara kita?

Memandangkan Dewan Rakyat bakal bersidang pada 2 November 2020 dan Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November 2020, apakah motif sebenar Kerajaan PN untuk melaksanakan Darurat pada ketika ini? Kenapa perlu khuatir dengan sidang Parlimen yang berlandaskan lunas undang-undang kita?

Walaupun kerajaan ‘Abah’ bukannya kerajaan yang mendapat mandat rakyat, sebagaimana yang diakui sendiri oleh ‘Abah’, tetapi kerajaan ‘Abah’ berkewajipan melaksanakan tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat, tanpa menimbulkan kegelisahan, keresahan dan kecelaruan rakyat Malaysia.

Mohon kerajaan PN mempertimbangkan semula keputusan untuk melaksanakan Darurat, kerana 3 alasan asas untuk pelaksanaan Darurat tidak berlaku ketika ini. Tambahan pula, Darurat bakal merencatkan ekonomi dan memeritkan kehidupan ekonomi rakyat Malaysia.

 

Bantah Darurat.

Terima kasih.

 

Cha Kee Chin

Ahli Parlimen Rasah

24 Oktober 2020

Show More

Related Articles

Back to top button