Berita

Chew ganti Arul Kumar sebagai Exco Negeri Sembilan

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, YB Chew Seh Yong akan menggantikan ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar sebagai Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan yang baharu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Chew akan mengambil sumpah di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti pada pukul 3.00 petang, 10 Februari ini.

“Saya telah mendapat persetujuan daripada Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB Loke Siew Fook dan telah mendapat perkenan DYMM Tuanku,” katanya.

Aminuddin mengumumkan lantikan Chew sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri yang baharu dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri sebentar tadi.

Sementara itu, Chew mengucapkan terima kasih kepada Aminuddin dan Loke di atas kepercayaan yang diberi berhubung lantikan berkenaan.

“Saya akan melaksana tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin dan akan mendapatkan nasihat daripada YB Arul Kumar dan barisan Exco yang lain,” ujarnya.

Arul Kumar dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan pada 27 Januari lalu dan terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button