Berita

Covid-19: Kerajaan Negeri nasihat majikan kurangkan jumlah pekerja di asrama

Pembangunan Parcel A MVV 2.0 akan bermula Januari atau Mac 2021

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menasihatkan majikan khususnya syarikat industri agar mengurangkan jumlah pekerja asing di dalam asrama bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata; Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa kebanyakan kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan adalah daripada kalangan pekerja warga asing.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang berbincang bersama pihak terbabit agar asrama pekerja asing di bawah syarikat terbabit mengurangkan jumlah pekerja asing di dalam asrama.

“Kita mencadangkan memindahkan sebahagian daripada pekerja ini ke kawasan lain seperti hotel ataupun kediaman yang dirasakan sesuai sekiranya ada kemampuan.

“Ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 di kalangan pekerja mereka,” katanya.

Cadangan moratorium kepada pengusaha industri pelancongan

Sementara itu dalam usaha menangani isu industri pelancongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kerajaan Pusat memberi perhatian khusus di dalam Belanjawan 2021.

“Di antara cadangan Kerajaan Negeri adalah lanjutan moratorium kepada pengusaha industri pelancongan seperti hotel dan bas persiaran,” ujar Aminuddin.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, pembangunan Parcel A Malaysian Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dijangka akan dimulakan seawal Januari atau Mac 2021.

“Baru-baru ini Kerajaan Negeri telah mengadakan mesyuarat koordinasi bersama pihak Sime Darby dan TH Properties.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam membangunkan MVV 2.0 dan semua projek yang dirancang pada masa ini masih berjalan mengikut jadual

“Pembangunan ini dijangka dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Sembilan dengan penyediaan lebih banyak kawasan perindustrian,” kata Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button