Berita

Covid-19: Majlis melebihi 250 orang dinasihatkan ditangguh

Beberapa program Kerajaan Negeri dan Peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan ditangguhkan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menasihatkan program dan majlis jabatan kerajaan berbentuk keraian yang telah dirancang dengan penglibatan melebihi 250 orang, terutamanya yang akan dihadiri oleh golongan berisiko tinggi seperti warga tua dan kanak-kanak adalah dinasihatkan untuk ditangguhkan atau ditiadakan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, ini merupakan salah satu daripada lapan langkah berdasarkan keputusan Mesyuarat Pre-Council Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri COVID-19 yang diadakan pada 12 Oktober 2020.

“Jabatan dan Agensi Kerajaan disarankan menilai kembali program yang telah dirancang dan meneliti keperluan pelaksanaannya.

“Beberapa program Kerajaan Negeri dan Peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan juga akan ditangguhkan.

“Orang awam perlu patuh dan peduli tentang SOP mengunjungi tempat awam termasuk sebarang majlis keraian.

“Penganjur perlu memastikan susunan meja dan tempat duduk pengunjung dibuat mengikut SOP penjarakan fizikal iaitu penjarakan sekurang-kurangnya satu meter,” jelas Aminuddin.

Agensi kerajaan, swasta dan premis perniagaan dinasihatkan patuhi SOP

Aminuddin berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan dan swasta perlu memastikan prosedur akses ke premis masing-masing dipatuhi dengan ketat.

“Premis perniagaan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama dan perniagaan yang berisiko seperti kedai gunting rambut perlu memastikan SOP lebih ketat dipatuhi.

“Individu, keluarga dan kontak rapat yang yang telah diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dalam tempoh 14 hari wajib mematuhi peraturan tersebut.

“Pemantauan (HSO) lebih ketat akan dikuatkuasakan serta-merta dan polis akan memantau individu yang telah diarah menjalaninya,” ujar beliau.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button