Kolumnis

Dilema Kerajaan Perikatan Nasional

Sidang Parlimen November ini akan menjadi penentu nasib Kerajaan PN

MOHD RASHIDI HASSAN: Berapa lama lagi kah Kerajaan Perikatan Nasional mampu bertahan? Itulah soalan yang sering berlegar di ruang fikiran ramai dari kalangan masyarakat.

Jika soalan ini diajukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah tentu beliau mahu kekal menjadi Perdana Menteri sehingga penggal tamat pada tahun 2023 nanti.

Muhyiddin sendiri tahu bahawa kerajaan pimpinannya tidak pernah mendapat mandat rakyat. Ia hanya terbentuk akibat pengkhianatan segelintir Ahli-Ahli Parlimen dari Kerajaan Pakatan Harapan yang bergabung dengan pembangkang.

Muhyiddin dan sekutunya cuba memperlihatkan seolah-olah mereka sebuah kerajaan yang kukuh. Namun sejak mula sidang Parlimen bulan Julai lepas, PN hanya didokong oleh 113 Ahli Parlimen berbanding Pakatan Harapan dan sekutunya, 109 orang.

Dua kali pengundian dibuat, PN hanya memperolehi 111 undi dalam Dewan Rakyat. Untuk rekod, beban untuk mengekalkan kuasa adalah pada tangan Kerajaan. Kerajaan harus mempunyai undi yang cukup untuk terus berkuasa.

Jika kerajaan tewas dalam pengundian di Dewan Rakyat, maka ia akan memberikan signal yang buruk kepada Muhyiddin. Muhyiddin boleh kehilangan kuasa dan menjadikannya sebagai penjawat PM terpendek dalam sejarah negara.

Karenah Menteri dan Timbalan Menteri

Justeru untuk mengekalkan kuasa, Muhyiddin terpaksa melantik empat Menteri Kanan, membanyakkan Kementerian dan menambah bilangan Menteri serta Timbalan Menteri. Sehingga ada kementerian dipecahkan kepada tiga dan ada kementerian mempunyai dua Timbalan Menteri.

Tindakan Muhyiddin ini menelan belanja negara yang sangat besar dengan pertambahan jutaan ringgit wang rakyat. Setiap komponen kerajaan yang ditambah, semakin ramai lantikan politik dan penjawat awam diperlukan.

Jika dinilai dari segi keperluan ekonomi negara, langkah Muhyiddin ini tidak bijak dan terkebelakang dari apa yang diamalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Namun jika dilihat daripada perspektif politik, ia adalah langkah terpaksa untuk ‘membalas jasa’ golongan yang membolehkan beliau menjadi PM kerajaan tebuk atap.

Langkah untuk ‘membalas budi’ ini disekalikan dengan pelantikan ahli-ahli politik secara beramai-ramai sebagai pengerusi syarikat dan agensi Kerajaan Persekutuan dengan nilai imbuhan yang begitu besar.

Manakala para pendokong tegarnya dalam Bersatu dikurniakan jawatan Senator bersama-sama calon dari parti-parti sekutu yang sentiasa ‘lapar jawatan’ untuk mengisi segenap peluang yang ada.

Namun, di sebalik belanja besar dan anugerah banyak jawatan ini, Kerajaan PN tetap tidak stabil. Bilangan mereka sudah ‘stagnant’. Muhyiddin hanya ada 113 Ahli Parlimen sudah tiada lagi wakil pembangkang yang boleh dibeli dengan jawatan.

Maka menjelang pembentangan Belanjawan 2021 bulan November depan, akan ada banyak siri pengundian untuk kelulusan bajet di Parlimen, jika seorang dua Ahli Parlimen PN tidak hadir, maka Kerajaan PN akan tumbang.

Sidang Parlimen dua bulan akan datang akan menjadi penentu nasib Kerajaan PN.

Bersatu pada mata Umno

Pihak yang ‘gian’ untuk membubarkan Parlimen adalah Umno. Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada kempen Pilihan Raya Kecil DUN Slim mengatakan Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh 100 hari.

Gesaan membubar Parlimen bertali arus berkumandang dari pemimpin Umno. Umno ‘mengamuk’ sewaktu mantan bos mereka dihukum bersalah oleh mahkamah pada 28 Julai 2020.

Meraikan desakan Umno, satu pertemuan tertutup di antara Muhyiddin dengan Ahli-Ahli Parlimen Umno di Parlimen pada 29 Julai 2020.

Pertemuan tersebut jelas tidak menghasilkan natijah yang baik sehingga Zahid mengumumkan bahawa Umno keluar dari Perikatan Nasional serta merta, namun Ahli-Ahli Parlimen Umno dibenar untuk terus menyokong Kerajaan PN demi mengekalkan jawatan dan kuasa.

Keputusan Umno ini menunjukkan bahawa mereka hilang kepercayaan kepada Muhyiddin. Mereka tahu bahawa Muhyiddin hanya ‘meniti di atas kepala mereka’ untuk mendapat jawatan PM.

Sejak awal penubuhan Kerajaan PN lagi Umno mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun tidak dilayan. Muhyiddin ada calon sendiri, namun Umno menolaknya. Maka diwujudkan empat jawatan menteri kanan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Umno juga mahu 16 kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum 2018 dikembalikan kepada mereka. 16 Ahli Parlimen yang khianat mereka, masuk ke dalam parti Bersatu dan yang jadi wakil bebas, tidak dikehendaki sama sekali.

Tiada kompromi kata Umno. Umno mahu meletakkan calon mereka sendiri di Parlimen Masjid Tanah, Bagan Serai, Bukit Gantang, Jeli, Labuan, Kimanis, Kudat, Beaufort, Beluran, Libaran, Hulu Terengganu, Mersing, Tasek Gelugor, Larut, Sabak Bernam dan Tanah Merah.

Semua ahli-ahli Parlimen ini tidak dikehendaki oleh Umno dan masa depan mereka juga malap, melainkan Bersatu dan Pas memberi mereka peluang bertanding di tempat lain.

Desakan Umno terhadap Muhyiddin tidak pernah terhenti. Setiap masa mereka menghentam Bersatu secara terbuka. Jelasnya, Umno hanya mahu menguatkan Muafakat Nasional bersama Pas. Umno MN bukan PN.

Tapi Umno juga tersepit apabila rakannya dalam MN tetap teguh bersama Muhyiddin. Menjadi parti tonggak penubuhan PN dan mahu mandat Muhyiddin sebagai PM disambung jika Parlimen dibubarkan.

Episod demi episod ini hanya menunjukkan bahawa Kerajaan PN amat rapuh dan tidak mempunyai masa depan. Hakikatnya sumpah mandat sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 hanyalah fatamorgana yang menipu rakyat kerana ia terhasil daripada sokongan pelbagai pihak yang penuh dengan kepalsuan semata-mata.

Mohd Rashidi Hassan merupakan Bekas Setiausaha Akhbar Kepada Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

Foto: Facebook Muhyiddin Yassin

 

Show More

Related Articles

Back to top button