Aktiviti

DSAI buka akademi bolasepak, lahirkan pelapis bermutu

Akademi Bolasepak Port Dickson melatih 46 pelajar sekolah sejak setahun lepas

PORT DICKSON: Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson bersama REA Energy Resources telah menubuhkan Akademi Bolasepak Port Dickson sejak setahun yang lepas; yang telah menarik sebanyak 46 orang ahli yang terdiri daripada pelajar sekolah berumur dari sembilan tahun (U9) hingga 17 tahun (U17).

Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi latihan berlangsung pada setiap hari Sabtu dan Ahad dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.

“Selain latihan asas dan intensif, pihak pengurusan akademi juga menganjurkan perlawanan persahabatan dengan akademi-akademi lain yang berada di bawah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) atau kelab-kelab persendirian lain, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Selain daripada jurulatih tetap, pihak Akademi juga turut mengundang beberapa bintang bolasepak tanah air untuk memberi inspirasi kepada para pemain akademi, antaranya Safee Sali, Rudie Ramli, Rizal Zambery Yahya, Shahrom Kalam dan Razman Roslan,” kata Anwar.

Anwar berkata, antara pencapaian yang boleh dibanggakan daripada Akademi Bolasepak Port Dickson adalah seramai lima orang pelatih Bawah 12 tahun (U12) terpilih ke pemilihan Akademi Tunas (NFDP) dan tiga orang pelatih Bawah 17 tahun (U17) terpilih ke pemilihan Pusat Latihan Daerah (PLD NFDP).

“Semoga program ini bermanfaat ke arah melahirkan generasi pelapis yang bermutu, bermula dari peringkat kanak-kanak dan seterusnya menjadi pemain yang serba lengkap dalam mengisi keperluan pembangunan bolasepak tanahair.

“Selain itu, diharapkan semoga program ini dilihat sebagai satu usaha program tanggungjawab sosial di samping memberi peluang kepada generasi muda di Port Dickson untuk menggilap bakat di dalam sukan bolasepak ini,” ujar Anwar lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button