Berita

DSAI: Kemerdekaan hasil sepakat semua kaum

Usah tanam curiga sesama kita antara kaum

CHUAH: Presiden KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menasihatkan rakyat agar tidak curiga di antara satu sama lain, kerana kejayaan negara mencapai kemerdekaan adalah hasil kesepakatan semua kaum.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-63 KeADILan Negeri Sembilan anjuran Biro KeADILan Negeri Sembilan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Chuah di Dataran Pachitan, Kampung Pachitan kelmarin.

“Kemerdekaan yang dicapai ini mesti difahami rohnya iaitu membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

“Kita lawan penjajah bukan kerana warna kulitnya putih tetapi kerana kezaliman, rasuah dan merompak harta negara.

“Prinsip keadilan yang merupakan janji kemerdekaan juga tidak harus dikesampingkan. Kita harus punyai sifat kemanusiaan kepada semua kaum,” kata Anwar lagi.

Sementara itu Ketua Penerangan KeADILan Negeri Sembilan, Saudara Yusof Tapar menasihatkan cabang KeADILan di Negeri Sembilan ketepikan perbezaan pandangan peribadi dan sebaliknya fokus kepada kepentingan parti.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Justeru, kita harus persiapkan jentera kita. Mantapkan organisasi dan bersatu perjuangkan idealogi parti dan kepentingan rakyat terbanyak,” ujar Yusof.

ADUN Chuah, Michael Yek Diew Ching merakamkan penghargaan kepada semua MPKK di dalam DUN Chuah dan KeADILan DUN Chuah yang bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menerima anugerah Wira Kampung Pachitan dari Pusat Khidmat Rakyat DUN Chuah. Anugerah disampaikan oleh Anwar. Untuk rekod Aminuddin berasal dari Kampung Pachitan.

 

Terlebih dahulu, Anwar menyerahkan Jalur Gemilang kepada lapan Ketua Penerangan KeADILan Cabang sebagai simbolik majlis pelancaran. Turut berlangsung persembahan tradisional kaum Melayu, Cina dan India.

Pelancaran ini juga meriah dengan peserta Kayuhan Merdeka DUN Kota Anggerik (Selangor) yang diketuai oleh ADUN Kota Anggerik, YB Najwan Halimi yang singgah sebentar di Port Dickson sebelum meneruskan kayuhan mereka ke Melaka.

Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Zulkefly Mohamad Omar; Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abdul Rahman; Senator Dr.Ahmad Azam Hamzah; Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abd Malek.

 

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohd Taufek Abd Ghani; Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Ismail Ahmad; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Bakri Sawir; Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon dan Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional, YB Choo Ken Hwa.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; YB P.Gunasekaren (Seremban Jaya); YB Yap Yew Weng (Mambau); YB Ng Chin Tsai (Temiang) dan ADUN Sungai Pelek (Selangor), YB Ronnie Liu Tian Khiew.

 

Hadir sama menjayakan majlis Penyelaras-Penyelaras DUN; Tuan Nasir Rahman (Bagan Pinang), Tuan Rebin Birham (Palong), Tuan Musliadi Sabtu (Jeram Padang), Tuan Yus Mazmi Ahmad Yusof (Pertang) dan Tuan Mohd Aidil Abdullah (Juasseh).

Antara kepimpinan KeADILan Negeri Sembilan yang hadir ialah Setiausaha KeADILan Negeri Sembilan, Saudara Nazri Kassim dan Ketua Wanitanya, Puan Amni Idris.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button