Berita

DSAI: Pastikan tiada rakyat yang tercicir dari arus pembangunan

Mengingatkan kepimpinan dan ahli parti agar tidak lari dari landasan perjuangan reformasi

SEREMBAN: Presiden Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru kepimpinan dan anggota Keadilan Negeri Sembilan, memastikan agar tiada rakyat yang tercicir dan terpinggir dari arus pembangunan.

Anwar dalam Program Jelajah Presiden yang bertemakan “Mantapkan parti, perkukuh PH, Menuju PRU15′ anjuran Keadilan Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban petang tadi berkata; walaupun setelah merdeka sekian lama, beberapa masalah besar rakyat belum diselesaikan.

“Isu kemiskinan. Apa perbezaan pendekatan kita dengan Umno? Yang miskin terus miskin.

“Bagaimana politik ini boleh membedakan di antara manusia?  Kerana warna kulit, paras rupa dan budaya? Jika itu, maka terhakis kemanusiaan kita.

“Parti Keadilan memang majoriti Melayu. Majoriti orang Melayu masih miskin. Yang memerintah itu, semua tokoh-tokoh Melayu. Yang semua kaya raya. Rakyat yang miskin,” ujar Anwar.

Anwar berkata, apabila bercakap soal kemiskinan, walaupun yang ramainya Melayu dan Pribumi Bumiputera, ia mesti mengambil kira kedudukan semua kaum termasuk Cina dan India.

“Jika ini menyebabkan ada yang pandang serong, saya tak peduli. Kemiskinan tidak kenal kaum”

“Yang penting kita hidup bermaruah dan berprinsip, bukan jadi pengemis,” kata Anwar dan disambut dengan tepukan gemuruh dari perwakilan yang hadir.

Dalam ucapannya, Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, turut menekankan soal pemantapan parti yang harus tegak atas asas dan khittah perjuangan mengangkat agenda reformasi.

“Saya juga ingatkan mereka agar dapat mempertahankan mandat rakyat serta harus sentiasa bersedia perkukuh dan pelihara parti bagi menghadapi kemungkinan pilihanraya umum pada bila-bila masa dari sekarang,” ujar Anwar lagi.

Turut hadir Setiausaha Agung Keadilan, YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Komunikasi Keadilan, YB Fahmi Fadzil dan Pengarah Strategik Keadilan, YB Sim Tze Tzin.

Antara kepimpinan negeri yang hadir ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan (MPN), YB Dato’ Seri Aminuddin Harun; Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Tuan MK Ibrahim Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB P.Gunasekaren.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan, YB Dato’ M.Ravi; Naib Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan, YB Ismail Ahmad dan Ahli MPN, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abdul Malek.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button