Berita

DSAI: Perutusan Aidiladha 1441H

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.

Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kesempatan kita umat Islam untuk kembali merayakan peristiwa besar dan hari mulia yakni Hari Raya Aidiladha untuk tahun ini.

Suasana perayaan kita kali ini ternyata luar biasa dan tidak seperti tahun-tahun sebelum tatkala amukan Covid-19 masih menggila.

Bila kita berbicara mengenai Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban, ia pantas mengingatkan kita kepada kepasrahan total dan cukup heroik Nabi Ibrahim (as) itu kepada perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail (as).

Semarak takbir Aidiladha juga mengingatkan kita bagaimana Ibrahim (as) memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata iaitu Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, perintah-Nya dan ajaran-Nya.

Ia menjadi peristiwa yang besar maknanya kepada umat Islam, tidak kurang ikonik. Peristiwa itu mencerminkan ketauhidan Ibrahim kepada keesaan Allah SWT ketimbang perasaan peribadi mahu menyelamatkan anaknya sendiri.

Lantaran dari kejadian itulah terjelmanya perintah ibadah korban kepada umat Islam sebagai meraikan pengorbanan besar yang dialami seorang ayah dan anaknya. Di sinilah kuncinya di mana kita seharusnya patuh pada jalan Tuhan dan tidak lagi terikut-ikut dengan hawa nafsu dan seruan selain dariNya.

Mengorbankan haiwan ternakan itu juga bermakna mengorbankan segala sikap yang lama dan usang, dan
mula menjalani kehidupan yang baru dan segar yang semestinya ditopangkan kepada kejujuran, keadilan dan rasa peduli kepada yang miskin dan melarat.

Justeru, saya menggesa agar Hari Raya Aidiladha di suasana ‘norma baharu’ ini dimaknai dengan kesedaran dan kebangkitan baru. Semoga kita dapat berfikir dan merenung semula dan menggarap pengajaran yang berguna darinya.

Mewakili keluarga dan KeADILan, saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1441H kepada seluruh umat Islam.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Presiden KeADILan

Ahli Parlimen Port Dickson

Show More

Related Articles

Back to top button