Kolumnis

ECRL: Antara ego pemerintah dan nasib rakyat

Perubahan ke jajaran asal akan menyebabkan kurangnya impak ekonomi ke atas Negeri Sembilan

EDY NOOR REDUAN: The Edge Malaysia melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membuat pertimbangan untuk mengembalikan jajaran projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kepada cadangan pertama ketika di bawah kerajaan BN. Jajaran asal akan melalui Bentong, Gombak dan Lembah Klang manakala jajaran yang dicadang oleh Pakatan Harapan melencong ke Jelebu dan Nilai.

2. Menteri Pengangkutan Dato Seri Wee Ka Siong pula dalam kenyataannya dua hari lalu berkata, cadangan kembali ke laluan asal adalah datangnya dari Menteri Besar Pahang. Apakah kerana cadangan yang serba regresif ini mendapat kecaman lalu Wee Ka Siong menolak puncanya kepada MB Pahang?

3. Seperti yang telah sedia maklum, perubahan jajaran yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan bukanlah sembrono tetapi adalah berdasarkan kelebihan pelbagai aspek termasuklah faktor penjimatan, faktor geo-ekonomi dan juga faktor kelestarian alam sekitar.

4. Jarak landasan baharu meliputi sejauh 648 kilometer berbanding rancangan awal sejauh 688 kilometer. Ini sudah tentu mengurangkan jumlah hutan yang bakal dijarah khususnya apabila membelah Banjaran Titiwangsa menerusi Bentong-Gombak.

5. Penjimatan jarak sebanyak 40 kilometer juga mengurangkan kos sebanyak RM21.5 bilion iaitu daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer. Penjimatan ini merangkumi sejumlah 35 peratus dari kos asal dan dikatakan mampu membina lagi dua KLCC menurut Tun Daim Zainuddin.

6. Jajaran baharu juga membolehkan lebih banyak negeri mengambil bahagian, termasuklah Negeri Sembilan dalam manfaat ekonomi dan pembangunan hasil daripada perjanjian yang ditambah baik berbanding ketika pentadbiran BN.

7. Dari sudut warisan alam sekitar pula, Rabung Kuarzit Klang Gates yang terletak di Gombak Selangor, sebuah daripada rabung kuarza tulen terpanjang di dunia mampu diselamatkan dengan jajaran yang tidak melalui Gombak.

8. Jajaran baru ini juga dapat menghubungkan Laluan Ekspres KLIA (ERL) sedia ada, serta laluan MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa depan. Ia sekaligus melengkapkan jaringan pengangkutan awam dari Lembah Klang – Putrajaya – KLIA – Nilai – Jelebu dan seterusnya ke negeri pantai timur.

9. Bagaimana kos mampu dijimatkan? Hasil dari sebuah kajian kejuruteraan nilai atau ‘value engineering exercise’ secara menyeluruh mendapati, laluan jajaran baru dilihat lebih sesuai sekiranya dibina melalui Jelebu dan Nilai. Ini bertujuan untuk mengelak dari banyak perobohan kediaman, bangunan dan kemudahan lain yang sedia ada bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan dan stesen ECRL.

10. Kos mengambil alih tanah juga jauh lebih murah di Jelebu dan Nilai berbanding jika jajaran merentasi Lembah Klang. Reka bentuk dan jajaran yang lebih sesuai dengan keperluan semasa projek ECRL (laluan Jelebu-Nilai) turut berjaya mengurangkan kuantiti bilangan terowong dan laluan bertingkat yang akan dibina sekaligus mengurangkan kos pembinaan projek ECRL.

11. Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam satu temuramah semalam berkata, perubahan ke jajaran asal ini selain akan melewatkan pelaksanaan, ia turut akan menyebabkan kurangnya impak ekonomi ke atas Negeri Sembilan.

12. Dato’ Seri Aminuddin juga sedia membuat rayuan agar jajaran tersebut tidak diubah semula. Kenyataan ini menyerlahkan lagi sikap ambil peduli serta keprihatinan seorang MB terhadap rakyat dan negeri yang ditadbirnya.

13. Negeri Sembilan Update (NSU) berpendapat, janganlah hanya kerana perbezaan politik, maka hak rakyat Negeri Sembilan untuk menikmati anjakkan ekonomi dan pembangunan bakal dinafikan seandainya jajaran ECRL kembali kepada yang asal.

Pihak kerajaan pusat harus mempunyai justifikasi yang komprehensif dan munahsabah jika berhasrat untuk mengubah semula jajaran tersebut kepada yang asal. Janganlah dibazirkan wang rakyat (dengan segala kos perubahan jajaran) hanya kerana keegoan menjadi pemerintah.

Edy Noor Reduan
Pengarah Media Negeri Sembilan Update (NSU)
15 Julai 2020

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

Show More

Related Articles

Back to top button