Berita

Empat individu terima kelulusan hak milik kekal dari Aminuddin

12 permohonan lagi sedang diproses dari Taman Marida dan Gedung Lalang 162

SEREMBAN: Empat individu dari Taman Marida, Senawang dan Gedung Lalang 162, Ampangan; menerima surat kelulusan permohonan penukaran status tanah dari pegangan pajakan 99 tahun (leasehold) kepada hak milik kekal (freehold) dari Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, langkah ini adalah selaras dengan manifesto yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

“Buat masa ini permohonan ini dibuka bagi dua taman perumahan iaitu dari Taman Marida dan Gedung Lalang 162 sebagai projek rintis bagi melengkapkan SOP (Prosedur Operasi Standard).

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga sedang memproses 12 permohonan lagi dari taman perumahan ini.

“Insyah Allah, Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi permohonan ini sesudah SOP tersebut dimuktamadkan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri maklum bahawa masih ramai lagi pemilik rumah di taman-taman tersebut yang masih belum membuat permohonan.

“Justeru, individu yang ingin menukar status tanah boleh menyemak kelayakan serta mengambil borang di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

“Negeri Sembilan adalah negeri pertama di dalam Malaysia yang membuka permohonan penukaran status tanah daripada pajakan kepada hak milik kekal,” ulas Aminuddin.

Puan Noraini Abdul Kudus, Encik Mairuz Kira dan Encik Wong Tian Song dari Taman Marida serta Encik Zulkarnain Zakaria dari Gedung Lalang 162, menerima surat kelulusan dari Aminuddin di Wisma Negeri petang kelmarin.

Show More

Related Articles

Back to top button