Berita

Aminuddin sumbang RM200,000 kepada sekolah Tamil

SEREMBAN: Sebanyak 51 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dari Negeri Sembilan, menerima sumbangan kewangan RM200,000 daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

“Sumbangan ini bagi memastikan pelajar di SJKT dapat menimba ilmu dalam suasana yang lebih baik,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian selepas menyerahkan cek sumbangan kepada 51 guru besar SJKT di Majlis Perasmian Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2021 di Jalan Dato’ Lee Fong Yee malam tadi.

Turut bersama, Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB J.Arul Kumar.

Sementara itu, Aminuddin berkata sambutan Karnival Deepavali Negeri Sembilan pada tahun ini terdapat sedikit perbezaan dengan tahun-tahun sebelum ini namun kemeriahannya tetap dirasai dengan kehadiran pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Walaupun tiada persembahan yang dibenarkan dan hanya 70 gerai dibenarkan beroperasi berbanding dengan 120 gerai pada tahun-tahun sebelumnya, saya mengharapkan agar semua yang berkesempatan hadir dapat mematuhi SOP yang telah digariskan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

“Di kesempatan ini mewakili Kerajaan Negeri Sembilan saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Negeri Sembilan terutamanya yang beragama Hindu.

“Semoga sambutan Deepavali pada tahun ini lebih bermakna. Deepavali Nal Valthukal (Selamat Menyambut Deepavali),” kata beliau.

Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2021 telah bermula sejak 25 Oktober dan akan berakhir pada 3 November esok.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button