Berita

Empat projek bernilai RM33 juta bakal mercu tanda Ampangan

Usaha menambahbaik dan menjadikan Medan Selera Ampangan sebagai tempat tarikan masyarakat

AMPANGAN: Empat projek besar bernilai RM33 juta yang diusahakan Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan, bakal menjadi mercu tanda Ampangan.

ADUN Ampangan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pembangunan ini bukan sahaja akan meningkatkan sosio ekonomi penduduk Ampangan, malah ia akan berupaya menarik lebih ramai pengunjung tempatan ke Medan Selera Ampangan yang kini sambutannya agak suram.

“Kerja pembinaan jejantas yang menghubungkan Medan Selera Ampangan dengan UTC dan Pasar Baru Ampangan telah bermula.

“Pasar Baru Ampangan empat tingkat yang berciri moden dengan kemudahan tambahan parkir kenderaan akan dibina.

“Turut akan dibina, projek landskap Dataran Ampangan yang akan mengindahkan perkarangan Medan Selera Ampangan dan bangunan baru Kompleks Komuniti Ampangan yang akan mengantikan Balai Penghulu.

“Tender untuk ketiga-tiga projek pembangunan ini telah dibuka sebelum ini dan tender akan ditutup pada hujung bulan Oktober ini,” jelas Mohamad Rafie.

Lawatan sambil belajar cari kaedah majukan Medan Selera Ampangan

Mohamad Rafie yang juga merupakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan berkata, dalam usaha menambahbaik dan menceriakan Medan Selera Ampangan; beliau telah menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke B5 Johor Street Market dan Galleria, Kota Raya di Johor Baru pada hujung minggu lepas.

Taklimat diadakan oleh Pengarah Eksekutif Damansara Assets Sdn Bhd (DASB hakmilik 100% JCorp) iaitu pihak yang bertanggungjawab membangun dan mengurus B5 Johor Street Market yang merupakan medan pusat penjaja di Johor Bahru.

Lawatan ini dihadiri oleh wakil peniaga Medan Selera Ampangan, Pegawai-Pegawai Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Ahli-Ahli Majlis MBS, Pengerusi-Pengerusi MPKK Ampangan dan wakil-wakil masyarakat Ampangan.

“Sesi taklimat dan dialog bersama DASB/JCorp serba sedikit telah membuka ruang kepada kaedah untuk menceriakan Medan Selera Ampangan.

“Kesemua peserta lawatan ini juga mengadakan mesyuarat untuk menilai dan mengkaji langkah tindakan mengilap kemajuan dan keceriaan Medan Selera Ampangan.

“Mahu tidak mahu, Medan Selera Ampangan perlu dipastikan untuk berdaya maju dan menjadi tarikan masyarakat termasuk pelancong asing sejajar dengan pembangunan yang dibawa yang bakal merubah landskap Bandar Baru Ampangan,” kata Mohamad Rafie.

Bandar Baru Ampangan sebagai model kemajuan

Mohamad Rafie berkata, beliau berhasrat menjadikan Bandar Baru Ampangan sebagai model kemajuan sesuai dengan pengiktirafan Seremban sebagai Bandaraya pada awal tahun 2020 yang lepas.

“Untuk memastikan kesemua pihak diberi ruang untuk memberi pandangan, penglibatan semua pihak yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat ini diharapkan dapat menghasilkan satu pelan tindakan kukuh untuk memantapkan Medan Selera Ampangan.

“Masyarakat awam juga boleh memberi pandangan secara terus kepada Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan.

“Insyah Allah, kita akan mengusahakan segera pelaksanaan pelan tindakan ini setelah kita memuktamadkannya nanti,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button