Berita

Gemencheh, DUN pertama berjaya hantar pelajar ke KAYNS

GEMENCHEH: Berasaskan slogan tadbir urus Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan, ‘Bersih, Muafakat, Sejahtera’; Penyelaras DUN Gemencheh Tuan Abd Latif A.Tambi dengan bekerjasama MPKK telah berjaya mendaftarkan 15 orang anak muda untuk meneruskan pengajian di bidang kemahiran di Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS).

Abd Latif berkata, dengan pencapaian ini DUN Gemencheh telah menjadi DUN yang pertama berjaya memenuhi harapan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, yang telah mengarahkan agar setiap DUN mencari dan mengenalpasti tidak kurang lima orang anak muda untuk meneruskan pengajian di bidang kemahiran di KAYNS.

Apabila ditanya bagaimana beliau dengan begitu cepat berjaya mencapai sasarannya, Abd Latif menjelaskan:

“Sebagai penyelaras DUN, saya perlu bekerja dengan ikhlas, bersih jiwa dan amanah. Amanah yang dipikul ini adalah berat.

“Saya tidak mampu lakukan seorang diri. Saya perlukan sokongan dan bantuan dari semua Ketua MPKK yang ada.

“Saya perlu bekerja atas asas muafakat dan semangat kerja berpasukan. Alhamdulillah, ianya berjaya dilakukan dalam tempoh tiga minggu sahaja,” jelas Abd Latif.

Mengulas lanjut kaedah pencarian pelajar, Abd Latif berkata, satu sekretariat khas telah ditubuhkan. Objektif utama adalah untuk mencari maklumat dan mengumpul anak-anak muda yang berpotensi.

Seorang Ketua MPKK telah diberi kepercayaan untuk menggerakkan sekretariat ini. Beliau adalah Encik Rusli Kanun, yang merupakan Pengerusi MPKK Kampung Air Rawa yang sangat aktif dan komited.

“Pasukan ini telah menghubungi Pengerusi MPKK yang lain dan dengan maklumat yang dikumpulkan, wakil Sekretariat telah melawat keluarga yang berpotensi, menyampaikan penerangan dan motivasi.

“Bermula dari sini, sambutan untuk mendaftar telah diterima. Kami tidak berpuas hati. Beberapa siri sesi penerangan secara berkumpulan pula telah diaturkan.

“Berapa ramai pun yang hadir, sesi motivasi dan penerangan tetap diteruskan dengan penuh semangat. Hasilnya, daripada 50 peratus yang hadir itu, mereka menunjukkan minat dan mendaftar,” ujarnya.

Bagaimanapun Abd Latif berkata, beliau masih belum berpuas hati. Beliau mahukan tidak kurang 20 anak muda Gemencheh yang mendaftar ke KAYNS sebelum berakhir bulan Mac 2021 ini.

“Sebahagian calon pelajar ini terdiri dari keluarga yang sangat daif dan miskin. Untuk membantu mereka, saya akan menanggung bantuan RM300 seorang untuk seramai 10 orang pelajar.

“Hidup ini adalah sementara saja. Peluang dan kesempatan yang diberi adalah amanah. Sentiasalah kita bersihkan keikhlasan dan niat.

“Laksanakanlah tugas dengan penuh amanah. Bekerjasamalah secara muafakat demi mencapai kejayaan kesejahteraan rakyat dunia dan akhirat,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button