Berita

Gerak98 Negeri Sembilan desak Khairuddin dihukum tanpa kompromi

Md Sani: Rakyat marhein ada yang didenda ribuan ringgit dan diheret ke mahkamah

SEREMBAN: Satu laporan polis telah dibuat oleh sebuah NGO, Gerak98 Negeri Sembilan terhadap seorang menteri yang dilaporkan telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin pencegahan wabak Covid-19.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Pengerusi Gerak98 Negeri Sembilan, Saudara Md Sani Md Shah di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 petang kelmarin.

“Beberapa laporan media yang menyebut Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa tidak mematuhi SOP Covid-19.

“Merujuk kepada kenyataan Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan menteri terbabit telah melalui ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan didapati negatif pada 7 Julai susulan lawatan ke Turki.

“Sepatutnya walaupun hasil keputusan didapati negatif, beliau perlu menjalani kuarantin mandatori di rumah selama 14 hari. Namun pada tarikh 13 Julai 2020, Mohd Khairuddin didapati turut berada di parlimen, iaitu hanya selepas enam hari pulang dari negara Turki,” jelas Md Sani.

Menurut Md Sani, kehadiran Mohd Khairuddin ke Parlimen pada tarikh tersebut merupakan satu pelanggaran SOP Covid-19 dan ancaman yang mampu memberi bahaya kepada seluruh negara kerana terdapat ratusan Ahli Parlimen lain dari seluruh negara yang telah berkumpul untuk persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

“Malah statistik Covid-19 juga menunjukkan ketika kunjungan Mohd Khairuddin ke Turki, negara tersebut mencatatkan lebih 5,600 kes Covid-19 baru dan 93 kematian.

“Pelanggaran SOP yang dilakukan oleh Mohd Khairuddin adalah amat serius dan wajar dihukum tanpa kompromi sebagaimana rakyat marhein ada yang didenda ribuan ringgit dan ada yang terus diheret ke mahkamah,” kata Md Sani lagi.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Terkini Negeri Sembilan (NSU), Dato’ Adzwan Ab Manas; Timbalan Pengerusi Gerak98 Negeri Sembilan, Saudara Edy Noor Reduan dan Ketua Media Gerak98 Negeri Sembilan, Saudara Hamizan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button