Berita

Golongan pesara diingatkan waspada penipuan dalam talian

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengingatkan golongan pesara agar berhati-hati menggunakan aplikasi digital dan ganjaran serta wang pencen yang diterima.

“Saya ingin mengingatkan golongan pesara agar sentiasa berwaspada dengan taktik scammer yang berleluasa.

“Sebarang urusan melibatkan transaksi dalam talian (online) dipastikan terlebih dahulu dengan pihak yang bertanggungjawab khususnya melibatkan pihak bank.

“Jangan malu bertanya kepada ahli keluarga, rakan-rakan, pusat kewangan atau pejabat berkaitan undang-undang tentang urusan kewangan. Lindungi diri dan harta kita daripada ditipu,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2020 yang berlangsung di Klana Resort di sini pada Isnin.

Menurut Aminuddin, berdasarkan laporan Polis DiRaja Malaysia, antara kes penipuan yang cukup masyhur di Negeri Sembilan sepanjang tahun 2019-2020 adalah penipuan pinjaman tidak wujud sebanyak 888 kes, penipuan pembelian atas talian sebanyak 861 kes, penipuan percintaan atau love scam sebanyak 236 kes dan penipuan Macau Scam sebanyak 479 kes.

“Bukan itu sahaja, terdapat 1,818 kes yang merugikan rakyat Negeri Sembilan hampir RM44 juta pada tahun 2019 dan 1,781 kes penipuan hampir RM92 juta bagi tahun 2020.

“Jangan menipu dan jangan biarkan diri kita mudah ditipu,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Ab Malik.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button