Berita

Gong Xi Fa Chai: KeADILan Cabang Jempol santuni 300 keluarga Tionghua

30 warga emas Tionghua terima 'Ang Pow'

JEMPOL: Sempena sambutan Tahun Baru Cina, kepimpinan KeADILan Cabang Jempol telah menziarahi dan menyantuni 300 keluarga berbangsa Cina di sekitar bandar Bahau termasuk di Mahsan dan Kampung Batu Bakar.

Ketua Cabang KeADILan Jempol, Saudara Rebin Birham berkata; KeADILan Jempol telah mengedarkan 300 set sumbangan termasuk limau mandarin, nenas, biskut dan pelitup muka (face mask) kepada 300 keluarga Tionghua yang menyambut Tahun Baru Cina.

Turut bersama dalam program ini, Timbalan Ketua Cabang, Saudara Ramli Hasan; Naib Ketua Cabang 1, Saudara Faiz Gobi Abdullah; Naib Ketua Cabang 2, Saudara Azmi Mohd Darus.

Setiausaha Cabang, Saudara Mohd Akhir Rantau; Ketua Wanita Cabang, Puan Kamaliah; Naib Ketua Wanita KeADILan Negeri Sembilan, Puan M.Tilaga dan Aktivis Masyarakat Kaum India Jempol, Saudara M.Gobi.

“Lazimnya sumbangan diagihkan seminggu atau beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

“Namun, pada tahun ini KeADILan Jempol membuat kelainan dengan memberikan sumbangan pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina.

“Ini ialah kerana pada tahun ini masyarakat Tionghua tidak dapat meraikan sambutan Gong Xi Fa Chai seperti tahun-tahun sebelumnya kerana mematuhi SOP pencegahan pandemik Covid-19.

“Mereka tidak dapat pergi ke mana-mana untuk sambutan pada tahun ini. Sekurang-kurangnya apabila kita ziarah dan beri sumbangan ini, ianya memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baru Cina mereka,” kata Rebin.

Kepimpinan KeADILan Jempol turut menziarahi sebuah rumah kebajikan orang tua (Rumah Sejahtera Mahsan Daerah Jempol) di Mahsan dan menyampaikan sumbangan termasuk sumbangan kewangan (Ang Pow).

Warga emas yang ditemui menyatakan perasaan terharu dengan kunjungan kepimpinan KeADILan Jempol.

Rebin berkata, program sumbangan ini diadakan dengan SOP yang ketat dan sumbangan dihantar terus ke kediaman penerima.

Pada hari yang sama di sebelah petang pula, Rebin ditemani kepimpinan Wanita KeADILan Cabang Jempol mengagihkan sumbangan yang sama di beberapa kawasan perumahan di sekitar bandar Bahau.

“Semoga sumbangan KeADILan Jempol memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina masyarakat Tionghua setempat,” ujar Rebin.

Show More

Related Articles

Back to top button