Berita

Gunasekaren anjur Kursus Teknikal Pembinaan Jalan dan Sistem Infratruktur

SEREMBAN JAYA: ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren bersama Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong telah menghadiri Kursus Teknikal dan Kualiti dalam Pembinaan dan Penurapan Jalan, Konkrit Parit, Jambatan dan Sistem Infrastruktur yang dianjurkan untuk Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

Kursus yang dianjurkan buat pertama kali oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN Seremban Jaya ini dikendalikan oleh Pengarah Urusan Seremban Soil Asphalt Lab Sdn Bhd (SSAL), DR M.K Jeyaraman di Makmal SSAL, Taman Seremban Jaya.

Gunasekaren berkata, adalah sangat penting peranan, penglibatan serta pengauditan ahli majlis dalam memantau setiap kerja pembinaan serta penurapan yang dilakukan oleh kontraktor Majlis Bandaraya Seremban dan Jabatan Kerja Raya demi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

“Saya berharap Ahli Majlis perlu memainkan peranan yang lebih mendalam dalam pemantauan kerja-kerja sebegini.

“Apabila ada pengetahuan teknikal, ahli majlis boleh memastikan penghasilan kerja-kerja yang berkualiti dari kontraktor, agar tidak berlakunya pembaziran dalam peruntukan kerajaan (tax payers’ money),” ujar Gunasekaren.

Teo pula berharap kursus sebegini dapat diadakan untuk semua ahli majlis di daerah lain di Negeri Sembilan pada masa akan datang.

“Kursus sebegini mampu meningkatkan pengetahuan teknikal ahli majlis dalam kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor dalam bidang pembinaan jalan dan sistem infrastruktur,” katanya.

Jeyaraman membawa semua peserta kursus ke makmal ujian dan menunjukkan bagaimana ujian sampel premix dan konkrit diadakan.

Pegawai Teknikal SSAL Encik Sumbathi, pula menerangkan tentang fakta, teknikal point, senarai ujian (lab test) dan aspek penting yang perlu diambil kira dalam pengauditan serta pembinaan jalan raya (pavement) dan bangunan.

Semua peserta kursus menerima sijil penyertaan dan cenderahati daripada Gunasekaren.

Show More

Related Articles

Back to top button