Berita

Toleransi kaum kukuh, nenek bakar mercun, terkena perut jiran

Niat nak halau anjing liar, terbang masuk ke rumah jiran

SEREMBAN JAYA: Tindakan seorang nenek, Puan Thanaletchumy Narayanan, 68, membakar mercun untuk menghalau anjing liar di hadapan rumahnya mengundang padah; apabila mercun tersebut meletup dan mencederakan jirannya.

ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren berkata, dalam kejadian pagi kelmarin itu, Thanaletchumy telah membakar mercun untuk menghalau anjing liar yang berkeliaran di hadapan rumahnya.

“Namun, tanpa disangka mercun tersebut terbang dan masuk ke sebuah rumah yang jaraknya selang lima buah rumah dari rumah Thanaletchumy.

“Mercun itu menembusi masuk tingkap rumah Puan Sapura Karim, 60, dan meletup di perut Sapura yang mengakibatkan kesan melecur di perut mangsa.

“Justeru, saya bersama Bekas Pengerusi Fasa 10, Taman Seremban Jaya, Encik Yussriy telah mengadakan perbincangan dengan Thanaletchumy dan Sapura untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Menurut Gunasekaren, Thanaletchumy bersetuju menanggung kos perubatan Sapura di klinik dan juga telah memohon maaf di atas kejadian yang tidak disengajakan itu.

“Saya bangga hubungan dan toleransi antara kaum di taman perumahan ini sangat kukuh dan tinggi.

“Sikap tolak ansur dan kerjasama boleh menyelesaikan masalah. Hubungan baik sesama jiran tetangga perlu dipupuk,” ujar Gunasekaren.

Gunasekaren turut menyumbang bantuan kewangan kepada Sapura.

Show More

Related Articles

Back to top button