Aktiviti

‘Hakikat Kemerdekaan’ di puncak Bukit Batu Sawa, Kuala Klawang

Program pendakian sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan DUN Klawang

KLAWANG: Program Pendakian Merdeka 2020 di Bukit Batu Sawa sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN Klawang menghimpun 150 peserta, yang kesemuanya berjaya mendaki bukit setinggi 333 meter tersebut.

Pengarah Program, Encik Norazizi Abdul Aziz yang juga Pegawai Khas Kepada ADUN Klawang, YB Bakri Sawir berkata, seramai 150 peserta mengambil bahagian dalam program pendakian ini, yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perhutanan.

Sejurus tiba di puncak Bukit Batu Sawa, Exco Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani mendeklamasi sebuah sajak bertajuk ‘Hakikat Kemerdekaan’ dengan penuh semangat.

Pegawai Pusat Khidmat Rakyat DUN Klawang, Norfatihah Mohamad Azman pula mendeklamasi sajak bertajuk ‘Negaraku Tetap Merdeka’.

Menurut Norfatihah, beliau teruja membaca sajak dan ini merupakan pertama kali berbuat demikian.

“Ini salah satu cara untuk saya menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ketika negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP ).

“Biar pun penat kerana mendaki bukit termasuk laluan mendaki dengan kecuraman 30 peratus, saya tetap bersemangat membaca sajak sekaligus menjadi kenangan untuk diri sendiri,” katanya.

Sementara itu Bakri Sawir berkata, ini kali kedua program mendaki ini dianjurkan selepas kali pertama diadakan pada tahun 2018.

Menurut Bakri, pihaknya membahagikan peserta kepada tiga kumpulan pendakian bagi mengelakkan berlakunya kesesakan selain mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Bukit Batu Sawa menjadi pilihan berikutan ianya antara kawasan tumpuan pendaki dan antara yang popular di Jelebu selain hanya mengambil masa antara 45 minit ke 60 minit masa pendakian dan bergantung kepada stamina individu terbabit,” jelas Bakri yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani.

Show More

Related Articles

Back to top button