Berita

Hanya tujuh daripada 28 AJK Keadilan Cabang Jelebu keluar parti

Keadilan Jelebu komited untuk memperkasakan agenda reformasi

KUALA KLAWANG: “Hanya tujuh daripada 28 Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang keluar parti dan Keadilan Cabang Jelebu menafikan sekeras-kerasnya bahawa cabang tersebut telah lumpuh; sebaliknya kami terus komited untuk memperkasakan agenda reformasi,” kata Ketua Cabang Keadilan Jelebu, Encik Yus Mazmi Ahmad Yusof.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Keadilan Cabang Jelebu di Kuala Klawang petang tadi, Yus Mazmi bersama pimpinan Keadilan Cabang Jelebu yang lain mengambil maklum dan menerima dengan hati yang terbuka keputusan beberapa anggota pimpinan cabang yang bertindak meninggalkan parti pada 27 Jun 2020. Hadir sama Wakil Pengerusi MPN, Dato’ Haji Romli Ishak dan Setiausaha Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan, Encik Nazri Kassim

“Bekas Timbalan Ketua Cabang, Saudara Tang Jayson telah bertindak keluar parti lebih awal pada bulan Mei 2020.

“Tindakan kumpulan ini tidak lah mengejutkan kerana banyak kenyataan yang menghentam parti dan presiden telah dikeluarkan oleh mereka sejak kebelakangan ini.

“Kenyataan media bertarikh 27 Jun 2020, yang menyatakan Cabang Jelebu telah lumpuh adalah tidak benar sama sekali kerana dari keseluruhan 28 orang Ahli Jawatankuasa penuh cabang hanya tujuh orang sahaja yang telah mengisytiharkan keluar parti,” jelas Yus Mazmi.

Yus Mazmi turut mendedahkan senarai nama mereka yang telah meninggalkan parti kepada media. Turut meninggalkan parti adalah beberapa Ahli Jawatankuasa Wanita Cabang dan AMK Cabang.

Senarai keanggotaan terkini Keadilan Cabang Jelebu adalah seramai 4, 023 orang ahli.

“Keadilan Cabang Jelebu menolak sekeras-kerasnya sebarang pengkhianatan di dalam parti dan akan terus membulatkan tekad dan iltizam demi mencapai matlamat asas perjuangan di bawah kepimpinan Presiden Parti iaitu YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun.

“Kami penuh yakin dengan keluarnya kelompok ini dari Keadilan Cabang Jelebu, parti akan lebih stabil, mantap dan kukuh.

“Keadilan Cabang Jelebu juga dalam rangka memantapkan jentera parti bagi menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum yang mengejut dan kita tidak mahu ada pengacau yang menggugat kestabilan parti.

“Saya selaku Ketua Cabang Keadilan Jelebu dan seluruh kepimpinan cabang berikrar akan terus kekal setia bersama Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN),” kata Yus Mazmi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button