Berita

Husin santuni pesakit terlantar, sumbang kerusi roda

RANTAU: Penyelaras DUN Rantau, Tuan Husin Haroon, telah menyantuni empat warga emas yang sakit terlantar dan menyerahkan sumbangan kerusi roda.

Husin berkata Puan Mere Khalid, 70, dari Kampung Kanchong mengidapi penyakit kanser pangkal rahim tahap 4 dan ada ketumbuhan di saluran kencing.

“Beliau tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan tiub saluran kencing bagi mengelakkan buah pinggang bengkak.

“Saya menyerahkan sumbangan kerusi roda dan bakul makanan kepada beliau,” katanya.

Husin seterusnya menziarahi Puan Sapi Ahmad, 97, di Kampung Seliau.

“Puan Sapi patah kaki setelah jatuh di rumah baru-baru ini dan kini hanya boleh duduk dan baring sahaja.

“Nenek ini di bawah penjagaan anak dan menantunya. Beliau menerima kerusi roda dan bantuan kewangan,” ulas Husin.

Sumbangan bakul makanan dan kewangan

Encik Md Fadil Arisdi, 55, dari Kampung Ribu turut diziarahi Husin.

“Encik Md Fadil mengalami komplikasi lemah kaki dan badan setelah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

“Kondisi badan dan kaki beliau menjadi terlalu lemah dan tidak mampu untuk berdiri. Buat masa ini beliau hanya duduk di rumah ditemani isteri.

“Beliau menerima sumbangan kerusi roda dan bakul makanan,” kata Husin.

Husin turut menziarahi Encik Anuar Mohamad Joha, 55, di Kampung Seliau Baru.

“Encik Anuar mengalami sakit lutut dan kaki sehingga mengakibatkan tidak boleh berjalan lagi.

“Pergerakan hanya dengan mengensut dan dibantu dengan kekuatan tangan. Beliau tinggal bersama kakaknya yang juga merupakan pesakit kencing manis dan darah tinggi.

“Saya menyampaikan sebuah kerusi roda dan sumbangan kewangan,” ujar Husin.

Show More

Related Articles

Back to top button