Berita

Ibu mengandung disaran ambil vaksin: Veerapan

SEREMBAN: Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam menasihatkan ibu-ibu hamil supaya mendaftar dan mengemaskini status peribadi di aplikasi MySejahtera, berhubung temu janji bagi pemberian vaksin Covid-19.

Menurut Veerapan, doktor pakar menasihatkan hanya ibu hamil dengan usia kandungan 14 hingga 33 minggu sahaja dibenarkan menerima vaksin, manakala usia kandungan melebihi 33 minggu dinasihati supaya menerima vaksin selepas bersalin.

“Saya nasihat supaya ibu-ibu hamil boleh mendapatkan nasihat dari doktor masing-masing berkenaan vaksin ini.

“Golongan ibu merupakan golongan yang berkemungkinan mempunyai risiko yang tinggi dengan jangkitan Covid-19.

“Kesihatan ibu hamil adalah tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri Sembilan, maka Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban telah menyediakan Unit Rawatan Rapi bagi pesakit ibu hamil yang positif Covid-19 agar mereka pulih dengan sempurna”, ujar beliau.

Veerapan berkata, pihak Hospital tetap menjalankan kewajipan mereka dengan menasihati golongan ibu hamil, tetapi masih terdapat juga ibu hamil enggan mengambilan vaksin (anti vaksin) semasa mengandung.

“Hal ini akan membawa risiko tinggi terhadap kesihatan ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.

“Keputusan pengambilan vaksin ini dibuat oleh setiap individu, maka pihak hospital mampu memberikan nasihat dan menghuraikan kebaikan vaksin semasa pandemik ini.

“Di Negeri Sembilan terdapat seramai lebih 900 ibu hamil yang mendaftar dan secara kumulatif anggaran seramai 30 orang sehari akan menerima vaksin mulai minggu depan.

“Di samping itu, bagi ibu yang hamil dan didapati positif Covid-19, mereka ini akan ditempatkan di Wad Wanita di HTJ untuk pemantauan,” kata Veerapan yang juga ADUN Repah.

Show More

Related Articles

Back to top button