Berita

ERAT@NS mengukuh perpaduan rakyat Negeri Sembilan

SEREMBAN: ERAT@NS merupakan satu inisiatif baharu Kerajaan Negeri Sembilan yang menyediakan insentif dan galakan kepada organisasi komuniti di Negeri Sembilan bagi pelaksanaan program dan aktiviti pengukuhan perpaduan secara kerjasama strategik.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bermula tahun 2020 sejumlah RM0.5 juta peruntukan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan ERAT@NS; manakala pada tahun ini sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program dan aktiviti pengukuhan perpaduan.

“Setelah pelaksanaannya, saya dapat lihat peningkatan kerjasama erat dan penglibatan aktif pelbagai persatuan, NGO dan organisasi komuniti sama ada di bawah naungan agensi kerajaan atau bukan kerajaan.

“Dalam Belanjawan 2022 sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan aktiviti pengukuhan perpaduan di bawah inisiatif ERAT@NS,” jelas Aminuddin di Majlis Pelancaran ERAT@NS malam tadi.

Negeri Sembilan Bersih, Muafakat, Sejahtera

Aminuddin berkata, penglibatan MPKK, Rukun Tetangga, persatuan penduduk, jawatankuasa surau, persatuan belia, sukan dan kebajikan dan persatuan yang mewakili rumah ibadat selain Islam, telah memainkan peranan besar dalam melengkapi peranan Kerajaan Negeri khususnya dalam penyampaian perkhidmatan sosial kepada masyarakat.

“Peranan organisasi komuniti membantu Kerajaan Negeri dalam usaha menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti kejiranan demi mencapai hasrat Negeri Sembilan yang Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

“Sehubungan itu, pelaksanaan inisiatif ERAT@NS ini sangat penting untuk memastikan NGO dan organisasi komuniti terus diperkasakan sebagai agen kerajaan, menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkukuh di peringkat akar umbi,” ulas Aminuddin.

Aminuddin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional, YB Choo Ken Hwa yang menyelaras pelaksanaan ERAT@NS.

“Tidak lupa rakan kerjasama strategik iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan
serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan atas kejayaan penganjuran majlis pelancaran ini,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button