Berita

Isu anjing liar di Kawasan Perindustrian TTJ akan ditangani segera

SEREMBAN JAYA: ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren berkata, isu anjing liar yang berkeliaran dan memasuki kawasan Kilang Kibing Group (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Taman Tuanku Jaafar akan ditangani dalam masa terdekat.

Berikutan aduan dari pihak pengurusan kilang, Gunasekaren yang diwakili oleh Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Puan Jamilah Said Ali dan Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Seremban Jaya, Encik P.Minnal Veeran dan Encik S.Mugunthan telah melawat dan mengadakan satu sesi perbincangan bersama pihak Pengurusan Kibing Group (M) Sdn Bhd.

Perbincangan tersebut melibatkan Pengarah Syarikat, Puan Teo Min Huey; Pengurus Besar Pentadbiran dan Inovasi, Encik Ooi Hock Lim dan Pengurus Kanan, Encik Norsamsul Akmar.

“Perbincangan ini bagi mencari satu jalan penyelesaian bagi menangani isu anjing liar jalanan yang masuk ke kawasan dan ke dalam kilang sehingga mendatangkan kacau ganggu dari segi aspek keselamatan pekerja.

“Ia menimbulkan rasa kegusaran pihak pengurusan kerana anjing berkeliaran sehingga ke kawasan pengeluaran (production) dan ruang mesin tertentu yang mungkin boleh menyebabkan anjing cedera atau mati,” kata Jamilah.

Jamilah menjelaskan, pihak pengurusan kilang juga pernah mengambil langkah memasang perangkap dan mengupah vendor menangkap anjing-anjing tersebut tetapi masih belum menemui jalan penyelesaian.

“Justeru, satu aduan telah dikemukan kepada Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Encik Hanizam Ahmad dan satu perjumpaan bersama dengan pegawai Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS akan diatur dalam masa terdekat bagi mencari jalan dan menyusun strategi menangani isu anjing liar ini,” jelas Jamilah.

Show More

Related Articles

Back to top button