Kolumnis

Isu pacak khemah Pantai Port Dickson pernah diselesaikan Aminuddin

EDY NOOR REDUAN: Sejak sekian lama, pantai Port Dickson merupakan antara destinasi pelancongan utama warga Lembah Klang berlibur. Lokasinya yang hanya memakan masa lebih kurang satu jam perjalanan menawarkan pasir pantai yang bersih dan indah untuk perkelahan keluarga.

Namun, seperti yang sedang tular di media sosial, isu pacak khemah untuk sewaan sekali lagi menjadi kecaman para pengunjung. Dalam pemerhatian Negeri Sembilan Update (NSU), rata-ratanya netizen kecewa dengan tindakan pengusaha khemah yang dilihat mementingkan diri apabila memacak khemah sewaan di sepanjang pantai.

Khemah yang dipacak merata tanpa penyewa bukan sahaja merencatkan pemandangan, malah ia mengganggu urusan pengunjung beriadah bersantai bersama keluarga dan menutup ruang pengunjung yang datang dari jauh membentang tikar untuk berkelah.

Ini menyebabkan pengunjung tiada pilihan apabila terpaksa membayar sewaan khemah untuk mendapat tempat berkelah. Ia sangat tidak ‘nostalgia’.

Jika perkara ini berterusan, adalah tidak mustahil kedatangan pelancong ke pantai Port Dickson akan merudum dan akhirnya segala bentuk ekonomi pelancongan di sini akan terkesan.

Tindakan pernah diambil

Untuk pengetahuan semua, perihal pacak khemah sewaan ini bukanlah suatu isu yang baru. Ia pernah diselesaikan suatu ketika dahulu dengan campurtangan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun yang mencadangkan ‘win-win situation’ kepada pengusaha khemah dan juga pengunjung.

Sekitar bulan Jun 2020, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah menjalankan operasi bersepadu ke atas semua khemah sewaan di sepanjang Pantai Teluk Kemang. Tindakan ketika itu juga adalah berdasarkan laporan orang awam.

Pada waktu ini jugalah Menteri Besar menegaskan bahawa pengusaha khemah masih boleh menjalankan perniagaan, cuma tidak dibenarkan memacak/membuka khemah tanpa ada permintaan dari pengunjung.

Khemah hanya dibenarkan dipasang sekiranya ada pengunjung ingin menyewa khemah tersebut. Jika tiada penyewa, kawasan tersebut harus dikemas rapi dan pengusaha tidak boleh memacak khemah secara ‘advance’ atau ‘pre-order’.

NSU menyambut baik penegasan Menteri Besar ketika itu yang masih memberi peluang kepada pengusaha untuk menyewakan khemah demi mencari rezeki. Namun janganlah peluang yang diberi ini diambil kesempatan hingga menimbulkan permasalahan yang tular seperti sekarang.

MPPD sentiasa proatif 

NSU percaya MPPD sentiasa proaktif membuat pemantauan di pantai khususnya pada hujung minggu bagi memastikan isu ini tidak berlaku lagi. Pada masa yang sama NSU juga faham dengan kekangan penguatkuasa yang tidak boleh berada di setiap tempat setiap masa. Apabila penguatkuasa telah beredar, akan ada pihak yang akan ambil kesempatan memacak semula khemah. Apabila ada pihak menular gambar khemah tersebut, maka umum beranggapan tiada tindakan diambil sebelum ini.

NSU yakin dengan pemantauan MPPD, pantai Port Dickson akan tampak lebih kemas, teratur, dapat menarik lebih ramai pengunjung ke bandar peranginan Port Dickson dan seterusnya menjana ekonomi setempat.

Aktiviti rentas negeri juga dijangka akan dibenarkan dalam masa terdekat. Justeru itu, NSU menjemput semua rakyat Malaysia memilih Port Dickson sebagai lokasi pelancongan pilihan. NSU yakin Kerajaan Negeri akan memastikan keselesaan pelawat sentiasa diberi keutamaan.

Edy Noor Reduan
Setiausaha NSU
21 September 2021

 

Kredit Foto Utama: Harian Metro 22 Jun 2020.

 

Show More

Related Articles

Back to top button